Dua didenda RM50,000 miliki 43,069 liter diesel tanpa lesen - Utusan Malaysia

Dua didenda RM50,000 miliki 43,069 liter diesel tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua individu masing-masing didenda RM50,000 di Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini atas pertuduhan berurusan dengan barang kawalan iaitu 43,069 liter diesel tanpa lesen, dua tahun lalu. 

Tertuduh, Liew Vi Hong, 25, dan Kong Wai Loon, 31, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mazni Mawi. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama didapati telah ada dalam kawalan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel sebanyak 43,069 liter dalam keadaan menimbulkan syak yang iaitu berurusan dengan minyak diesel secara borong tanpa lesen. 

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 9.58 malam di sebuah premis di Jalan Lombong Emas 1, Taman Perindustrian Ringan Seremban di sini pada November 2022.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya, didenda maksimum RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua- duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Nor Alimah Mohd Sanusi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal. 

Mahkamah kemudiannya memutuskan denda RM50,000 setiap seorang atau tiga bulan penjara sekiranya denda gagal dibayar.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×