JELEBU: Dua beranak yang dalam perjalanan pulang ke rumah maut apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbabit dalam nahas di Jalan Air Baning, Lakai, di sini, petang tadi.
Ketua Polis daerah Jelebu, Deputi Superintenden Maslan Udin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.05 petang membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku semasa kereta Perodua Kelisa yang dinaiki tiga beranak dalam perjalanan dari arah Simpang Pertang menghala ke arah Manchis untuk pulang ke rumah di Durian Tipus.
“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu kereta Perodua Kelisa telah hilang kawalan dan masuk ke laluan sah Toyota Hilux yang datang dari arah bertentangan lalu melanggar di bahagian hadapan.
“Akibat pelanggaran tersebut, pemandu iaitu si bapa berusia 74 tahun dan anak perempuannya berusia 46 tahun yang merupakan penumpang hadapan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
“Penumpang belakang iaitu si ibu berusia 70 tahun mengalami kecederaan parah dipercayai kecederaan dalaman di bahagian paru-paru dan perut,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Maslan lagi, pemandu Toyota Hilux iaitu lelaki berusia 40 tahun yang beralamat di Seremban pula mengalami kecederaan luka di kaki.
Menurutnya, mayat kedua beranak berkenaan telah dihantar ke Hospital Jelebu dan bedah siasat akan dijalankan pukul 9 pagi esok.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.-UTUSAN.









