KANGAR: Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (Drive Thru Recycle Centre) akan beroperasi di Padang Besar selepas ini susulan daripada kesedaran tinggi ditunjukkan dalam kalangan masyarakat.
Sebelum ini, dua DTRC yang ditubuhkan di kawasan Kangar dan Arau telah menunjukkan perkembangan positif dengan mendapat jumlah kutipan amat menggalakkan pada setiap bulan.
Berdasarkan rekod, bagi tempoh bermula Januari 2022 sehingga Jun tahun ini, DTRC Kangar telah berjaya membuat kutipan barangan kitar semula sebanyak 734.50 tan metrik manakala DTRC Arau pula sebanyak 164.64 tan metrik.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, pembukaan DTRC Padang Besar itu adalah selaras dengan kesedaran tinggi ditunjukkan dalam kalangan masyarakat untuk mengitar semula barangan buangan mereka.
“Kalau tengok perkembangan kita sebutkan itu, antara DTRC paling aktif di Perlis adalah Kangar dan selain itu kita juga sudah buka di Arau.
“Oleh itu, kita dalam proses untuk membuka DTRC di Padang Besar juga memandangkan melihat kesedaran rakyat untuk mengitar semula barangan dan kerajaan negeri cuba menyokong sepenuhnya usaha baik ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Pekerja Pembersihan 2024 di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Asrul berkata, buat masa ini, perbincangan lanjut berhubung pembukaan DTRC Padang Besar masih berjalan dalam mengenalpasti lokasi spesifik bersesuaian bagi penyediaan kemudahan tersebut.
“Dan kita harapkan dengan pembukaan ini akan membantu lagi mengurangkan sisa buangan dan kerja kutipan juga akan lebih terkawal,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Asrul berkata, bagi menerapkan nilai keselamatan dalam kalangan pekerja di lapangan, E-Idaman telah melaksanakan program Passport Keselamatan atau Safety Passport bermula sejak tahun 2022.
Katanya, sehingga kini, seramai 800 pekerja E-Idaman telah menjalani latihan dan memiliki Safety Passport tersebut.
“Pasport Keselamatan ini juga adalah inisiatif yang amat baik oleh pihak syarikat kepada pekerja pembersihan yang terdedah kepada pelbagai jenis bahaya atau kemalangan.
“Program ini diharap dapat memberi kesedaran kepada mereka tentang aspek keselamatan dan kesihatan sewaktu melaksanakan tugasan,” katanya.-UTUSAN











