KUANTAN: Penunggang cilek, Dayyan Adam Zafri Muhammad Farid Ariffin dari pasukan DAZ Bikers terus mengungguli Kejohanan Antarabangsa M8 Pushbike Malaysia yang diadakan selama dua hari di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di Padang Matsirat di Langkawi, Kedah.
Dalam kejohanan berlangsung pada 13 dan 14 Julai lalu itu, Dayyan Adam Zafri muncul juara bagi kategori usia enam tahun.
Kejayaan itu mengulangi pencapaiannya sebelum ini apabila muncul juara kategori lima tahun kejohanan sama pada 24 dan 25 Jun tahun lalu di Tropicana Garden Mall Convention Centre, Petaling Jaya, Selangor.
Ibu kanak-kanak berkenaan, Dinie Amirah Zuhairi berkata, kejohanan antarabangsa di Langkawi merupakan kali pertama Dayyan Adam Zafri mewakili M8 Push Bike Malaysia dan muncul juara ‘grand champion’.
“Kejayaan ini membolehkan Dayyan Adam Zafri kekal bersama M8 Malaysia yang merupakan antara penganjur dan pemilik push bike terbesar di negara ini.
“Ia bukan mudah untuk beraksi bersama M8 Malaysia kerana setiap pemain perlu mengekalkan prestasi cemerlang dan rekod kejuaraan yang tinggi,” katanya di sini.

Kejohanan Antarabangsa M8 Pushbike Malaysia disertai peserta dari negara antaranya Indonesia, Thailand, Vietnam, Singapura, Taiwan, Filipina, China, Hong Kong, Jepun, India dan Malaysia.
Dinie Amirah berkata, setelah lebih tiga tahun berkecimpung dalam sukan berbasikal ini, pelbagai kejohanan disertai anaknya iaitu di Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan juga Kuala Lumpur.
“Dayyan Adam berjaya meletakkan diri antara pelumba yang disegani dalam kategori usianya yang mana dia mampu memberikan saingan sengit kepada pelumba-pelumba lain malah berjaya mendapatkan kedudukan podium terbaik sepanjang penglibatannya.
“Menerusi dorongan dan latihan, Dayyan berusaha melangkah lebih jauh malah lebih bersedia untuk memberikan saingan yang terbaik dalam mana-mana kejohanan yang bakal disertai selepas ini,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, selepas cemerlang dalam setiap kejohanan push bike disertainya, Dayyan Adam Zafri bakal menyertai sukan pocket bike.
“Dayyan Adam menjadi antara 10 pemain push bike yang dipilih M8 Malaysia menyertai kejohanan pocket bike yang dijadualkan pada 3 dan 4 Ogos ini. Ia merupakan percubaan pra peralihan daripada push bike kepada pocket bike.
“Tentunya ia peluang terbaik buat Dayyan Adam untuk mengembangkan bakatnya selepas cemerlang dalam kejohanan push bike disertainya,” katanya. – UTUSAN








