PADANG BESAR: Cuaca panas yang dijangka berterusan sehingga pertengahan September ini bakal menjejaskan industri pertanian negara terutama dalam sektor penanaman padi.
Kawasan seluas 1,281 hektar membabitkan 6,784 pesawah di Perlis dan 29,241 hektar membabitkan 2,162 pesawah di Kerian, Perak Tengah dan Hilir Perak bakal terjejas jika situasi ini tidak ditangani segera.
Setakat ini, kira-kira 70 pesawah di kawasan seluas 86 hektar di Kampung Semadong di sini berdepan kerugian sehingga RM130,000 berikutan sawah kering-kontang dengan keadaan tanah merekah.
Pesawah, Che Fariz Izani Che Ya, 36, berkata, masalah sawah kering-kontang berpunca daripada ketiadaan sumber bekalan air selepas sekian lama tidak hujan.
Katanya, masalah tersebut antara paling teruk pernah berlaku yang lazimnya terjadi pada musim pertama tanaman iaitu April.
Ujarnya, pesawah mula mengusahakan tanaman pada Jun lalu apabila pada masa itu taburan hujan agak lebat sekali gus mempunyai sumber pengairan.
“Saya mengusahakan sawah kira-kira 10 hektar dengan kos keseluruhan sekitar RM35,000 dan hasil dilihat tidak menentu lagi apabila berlaku keadaan seperti ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, takungan air di empangan dan tasik di tiga negeri iaitu Perlis, Kedah dan Perak kini terjejas dan berada pada tahap membimbangkan ekoran paras air semakin menyusut akibat cuaca panas dan kemarau.
Situasi tersebut turut mengancam puluhan ribu hektar tanaman padi dan ribuan petani di ketiga-tiga negeri itu bakal kerugian.
Sementara itu, pakar perubahan iklim dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dr. Aweng Eh Rak meramalkan Malaysia dikhuatiri turut berhadapan dengan krisis bekalan makanan sekiranya punca yang menyebabkan negara menjadi semakin panas tidak ditangani dengan segera.
Ini kerana, katanya, takungan air di empangan dan tasik di tiga negeri iaitu Perlis, Kedah dan Perak kini terjejas dan berada pada tahap membimbangkan ekoran paras air semakin menyusut akibat cuaca panas dan kemarau yang melanda ketika ini.
“Ia mewujudkan kebimbangan bahawa negara akan berhadapan dengan krisis sekuriti makanan apabila aktiviti pertanian tidak dapat dijalankan oleh kerana cuaca yang menunjukkan peningkatan setiap masa.
“Pemanasan global akan membangkitkan isu ketiadaan bekalan makanan dan mendorong pelbagai penyakit. Oleh kerana itu, kerajaan perlu menyingkir punca yang menyebabkan suhu negara menjadi semakin panas bagi mengelak berhadapan dengan krisis-krisis tersebut,” katanya.










