Cakera putar patah punca lori balak hempap penunggang motosikal

Cakera putar patah punca lori balak hempap penunggang motosikal

KEADAAN motosikal mangsa yang remuk dihempap kayu balak dalam kejadian di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara, Gua Musang, Kelantan hari ini-UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Penyambung atau cakera putar (turntable) lori balak yang patah semasa melalui selekoh dipercayai menjadi punca kayu balak terjatuh lalu tergolek sebelum menghempap seorang penunggang motosikal wanita di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara di sini, hari ini.

Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Siti Norelyana Kamarulzaman, 21, dari Felda Chiku 3 mengalami kecederaan dalaman dan kini dirawat di Hospital Gua Musang di sini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian pemandu lori berusia 58 tahun sedang dalam perjalanan membawa muatan balak dari arah Bandar Utama menghala ke Padang Tengku, Kuala Lipis dekat Pahang.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, turntable lori itu dipercayai patah semasa sedang membelok sehingga menyebabkan muatan balak terbalik.

“Pada masa sama, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave berhenti di lampu isyarat di laluan bertentangan dihempap kayu balak yang jatuh bergolek dari muatan lori tersebut.

“Kayu balak tersebut turut terkena bahagian depan sebuah kereta jenis Toyata Vios yang berhenti menunggu lampu isyarat,” katanya ketika dihubunhi pemberita di sini hari ini.

Choon Foo memberitahu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-912 1222 atau pegawai penyiasat di talian 012-402 7283 bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan.

Utusan Online hari ini melaporkan,
seorang wanita nyaris maut selepas motosikal yang dia tunggang dihempap muatan kayu balak dibawa sebuah lori ketika sedang mengambil selekoh di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.23 pagi itu, mangsa, Siti Norelyana Kamaruzan, 21, yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah di sini dihantar ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.

Mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya di Bandar Utama Gua Musang di sini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN