Buli siber: Pemilik rumah kebajikan didenda RM100 - Utusan Malaysia

Buli siber: Pemilik rumah kebajikan didenda RM100

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik rumah kebajikan yang dikaitkan dalam kes buli siber terhadap pempengaruh Rajeswary Appahu atau Esha didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat.

Majistret Arunjothy M. Selvaraju mengenakan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Shalini Periasamy, 35, selepas merekodkan pengakuan wanita itu.

Mengikut pertuduhan, Shalini didakwa dengan sengaja mengeluarkan kata-kata kesat melalui akaun TikTok dengan profil ‘alphaquinnsha’ dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.

Kesalahan itu dilakukan pada pukul pukul 4.10 pagi, 1 Julai lalu di sebuah premis di Lorong Kolam Air 8, Jalan Ipoh di sini.

Pertuduhan terhadap wanita itu dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi RM100.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafiezah Mohamed Fauzi manakala Sharlini tidak mewakili peguam.

Mengikut fakta kes, seorang aktivis sosial dan merupakan pengadu kes itu telah menemui akaun TikTok tertuduh atas nama ‘alphaquinnsha’ yang telah memfitnah mangsa (Esha) dan membuat beberapa ugutan untuk mencederakan wanita itu dengan nada paling ganas.

Tertuduh juga didakwa telah membuat siaran langsung di TikToknya sambil membuat ugutan serta ancaman kepada individu menentangnya menyebabkan Esha membuat laporan polis.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, seorang pemandu lori, B. Satishkumar, 40, mengaku bersalah bagi tuduhan memulakan penghantaran perkhidmatan komunikasi lucah dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan melalui aplikasi TikTok dengan menggunakan profil “dulal_brothers_360” pada 10.12 malam, 30 Jun lalu di sebuah premis di Jalan Ipoh, Sentul di sini.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah subsekyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Tertuduh juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Bagi pertuduhan kedua, Sathiskumar didakwa telah mengaibkan dan mengganggu kesantunan P.R. Puspa, 56, iaitu ibu kepada mendiang Esha melalui perkhidmatan aplikasi Tiktok dengan menggunakan nama profil Tiktok sama pada tarikh, masa dan tempat serupa.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia bagaimanapun tidak mengaku bersalah bagi pertuduhan kedua itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×