BAGAN SERAI: Bukit Merah di sini bakal menjadi kawasan tanaman durian duri hitam atau black thorn dengan sasaran untuk eksport ke China.
Seorang penanam durian jenis itu di sini, Lim Chin Hooi, 58, berkata, keterbukaan China membenarkan kemasukan buah durian segar dari negara ini membuka pasaran yang lebih luas kepada pengusaha tanaman durian.
Menurutnya, dia tidak mahu ketinggalan untuk merebut peluang keemasan bagi memenuhi permintaan pasaran di China dengan memulakan tanaman durian duri hitam sebanyak 600 pokok di tanah berbukit seluas 4.05 hektar di Bukit Merah.
Katanya, tanamannya sudah berusia setahun dan dijangka mengeluarkan hasil pertama pada tahun 2026.
“Saya berpakat dengan rakan untuk menanam durian duri hitam kerana harga buah jenis ini tinggi berbanding Musang King.
“Pemilik tanah sebelah yang juga kawan saya menanam sebanyak 400 pokok durian duri hitam.
“Penanaman durian duri hitam ini adalah usaha untuk meningkatkan ekonomi bukan hanya untuk saya tetapi juga kawasan koridor utara Perak khususnya di Bukit Merah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, kebanyakkan pemilik tanah berbukit di sekitar kawasan Bukit Merah mula membersihkan tanah mereka dengan membina teres bertingkat bagi penanaman durian.
Dia difahamkan sebuah pusat penyelidikan durian akan dibuka di kawasan Empangan Tasik Bukit Merah.
“Ini menunjukkan kawasan berbukit di tepi empangan ini akan dimajukan dengan penanaman durian dalam skala yang besar. Secara tidak langsung kawasan ini akan menjadi salah satu hub pengeluaran durian untuk pasaran tempatan dan juga pasaran antarabangsa pada masa akan datang,” katanya.
Menurutnya, durian duri hitam yang ditanamnya dijangka mula mengeluarkan hasil pertama dalam tempoh dua tahun lagi.
Katanya, sekiranya ukur lilit pokok mencapai tujuh inci dan berusia tiga tahun, pokok akan mengeluarkan hasil pertamanya secara minimum.
“Minimum bermaksud setiap pokok yang baru mula berbuah hanya ditinggalkan putiknya sebanyak tiga biji untuk membesar, putik selebihnya akan dipotong atau dibuang supaya pokok yang ditanam dapat hidup lebih lama.
“Pokok durian duri hitam akan dibenarkan untuk berbuah secara maksimum apabila usia pokok mencapai lima tahun dan ke atas dengan ukur lilit pokok melebihi dari tujuh inci,” katanya.










