TANGKAK: Seramai 22 anggota bomba mengerah keringat selama lima jam bagi mengeluarkan pemandu treler yang tersepit di Jambatan Kedua Parit Bunga, Jalan Tangkak-Muar, semalam.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz, dalam kemalangan pada pukul 10.25 pagi itu, treler dipandu Ismail Mahdom, 44, terbabas ke bahu jejantas dari arah Tangkak ke Muar.
“Mangsa telah tersepit di bahagian ruang pemandu. Ruang kerja agak sempit mengakibatkan lebih banyak masa diperlukan bagi kerja-kerja menyelamat kerana kedudukan treler yang terbabas melekat ke dinding flyover jambatan berkenaan.
“Pihak bomba terpaksa menggunakan khidmat kren untuk menjarakkan kedudukan treler dari dinding jambatan berkenaan bagi ruang kerja-kerja penyelamatan oleh anggota bomba dapat dilakukan dengan penggunaan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pihak bomba mengambil masa kira-kira lima jam mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.
“Mangsa yang mengalami kecederaan berjaya dikeluarkan dan diserahkan pada pihak Kementerian Kesihatan bagi tindakan selanjutnya,” katanya sambil memberitahu punca kejadian masih dalam siasatan polis.
Seramai 22 anggota dari BBP Tangkak, Bukit Gambir dan Muar diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Muhammat Fazli Mat Jinin dikejarkan ke tempat kejadian bersama enam buah jentera.
Operasi ditamatkan pada pukul 3.39 petang. – UTUSAN









