Bersatu tidak mahu 'pisang berbuah dua kali' di PRK Nenggiri

Bersatu tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’ di PRK Nenggiri

RADZI Jidin semasa menyampaikan ucapan semasa Ceramah Gelombang Selamatkan Malaysia dan Pelancaran Jentera PRK Nenggiri di Markas Pas Limau Kasturi 2, Gua Musang, Kelantan malam tadi-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’ terus berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri 17 Ogos depan sebagaimana pengkhianatan yang dilakukan oleh bekas wakil rakyat dari parti berkenaan sebelum ini.

Naib Presidennya Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, satu langkah dalaman akan dilaksanakan oleh parti bagi memastikan amanah yang diberikan oleh rakyat tidak lagi dikhianati.

Menurutnya, Bersatu akan memilih individu terbaik untuk diangkat sebagai calon pada PRK itu nanti.

“Kita akan buat yang terbaik dan insya-Allah kali ini pisang tidak akan berbuah dua kali.

“Saya yakin dan percaya, rakyat akan terus memberikan sokongan kepada calon Bersatu yang bertanding dibawa Perikatan Nasional (PN) dengan menggunakan logo Pas,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan semasa Ceramah Gelombang Selamatkan Malaysia dan Pelancaran Jentera PRK Nenggiri di Markas Pas Limau Kasturi 2, di sini malam tadi.

Ahli Parlimen Putrajaya itu memberitahu, hal ini kerana rakyat dilihat semakin matang dan bijak dalam membuat keputusan dengan mengambil kira situasi yang berlaku sebelum ini.

Pada PRK lalu, calon PN dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd. Azizi Abu Naim menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab. Aziz Yusoff.

Terdahulu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah pada 13 Jun lalu mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.

Ia selepas beliau menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada Bersatu mengenai pengguguran keahlian Mohd. Azizi..

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN