PETALING JAYA: Enggan mengesahkan atau menafikan dirinya sudah berhijab sepenuhnya, pelakon Nora Danish memohon doa semua pihak supaya hatinya kekal istiqamah dengan perubahan imej terkininya.
Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, 42, mengakui keputusan itu diambil kerana kerelaan sendiri tanpa paksaan mana-mana pihak semenetelah di tangga usia 42 tahun, sudah tiba masa untuk dia berhijab.
“Sudah lama sebenarnya saya berniat mahu berhijab tapi belum ada kekuatan.
“Saya buat keputusan ini tanpa desakan atau paksaan sesiapa. Saya sendiri yang memilih untuk berhijab kerana usia saya pun bukan muda lagi.
“Saya percaya setiap wanita yang belum berhijab pun pasti ada keinginan yang sama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bukan sengaja merahsiakan penampilan terbaharunya itu, namun pelakon filem pecah panggung, Polis Evo itu takut seandainya imannya goyah suatu hari nanti.
“Sebenarnya saya takut mahu beritahu sudah bertudung, sebab saya juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada ujian dan dugaan Allah.
“Apa yang mampu saya kongsikan, doakan saya istiqamah dengan imej ini,” katanya.
Terdahulu, Nora mencuri perhatian apabila mula memuat naik beberapa keping gambar dirinya sudah berhijab.
Sebelum ini menerusi video di akaun TikTok, pelakon itu mengakui selesa mengenakan hijab kerana memudahkan urusannya menunaikan solat.
Bagaimanapun ketika itu, Nora tidak mengesahkan sudah berhijab sepenuhnya namun berterima kasih kepada peminat yang mendoakannya. – UTUSAN










