Bekas polis terlepas hukuman gantung, dipenjara 40 tahun, 12 sebatan bunuh kekasih - Utusan Malaysia

Bekas polis terlepas hukuman gantung, dipenjara 40 tahun, 12 sebatan bunuh kekasih

MUHAMMAD FAIZAL Salim terlepas hukuman mati di tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Johor Bahru menukar hukuman dengan penjara 40 tahun dan 12 sebatan kerana didapati bersalah membunuh kekasihnya yang mengandung pada 2015.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang bekas anggota polis berpangkat Koperal terlepas hukuman mati apabila Mahkamah Persekutuan yang bersidang di sini hari ini mengetepikan hukuman gantung terhadapnya kerana didapati bersalah membunuh kekasihnya yang mengandung pada 2015.

Hukuman mati terhadap Muhammad Faizal Salim, 47, diganti dengan penjara 40 tahun berserta 12 sebatan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 13 April 2015.

Keputusan itu dibuat panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah. 

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Faizal didakwa membunuh Norzielawati Akmar Afandi, 35, di Taman Rekreasi Hutan Bandar Bukit Cantik, Mersing  antara pukul 11 malam 12 April 2015 hingga 12.30 pagi 13 April 2015.

Laporan bedah siasat mendapati punca kematian Norzielawati akibat hentakan kuat dengan benda tumpul pada kepala dan mempunyai 47 kecederaan lain di badan seperti kesan lebam dan luka.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Tetralina Ahmed Fauzi membantah semakan permohonan dengan alasan kematian mangsa adalah tragis.

“Bayi dalam kandungan juga sudah berusia enam bulan, sekali gus menyaksikan pemohon telah membunuh dua nyawa. Mangsa juga telah merayu agar tidak dipukul namun tidak diendahkan pemohon,” katanya.

Sementara itu, peguam bela, Iskandar Shah Ibrahim berkata, tindakan itu bukan satu kekejaman yang ekstrem dan pemohon juga berniat untuk menghantar mangsa bagi mendapatkan rawatan.

Barisan panel tiga hakim kemudian bersetuju menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap pemohon sebelum ini dengan penjara 40 tahun dan 12 sebatan.

Pada 21 Mei 2018, Mahkamah Rayuan di Putrajaya mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap Muhammad Faizal kerana perbuatan kejamnya itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN