KOTA TINGGI: Bau asap disedari pemilik kedai menjual barang peralatan motosikal di Teluk Sengat di sini berjaya menyelamatkan nyawa penghuninya dalam mangsa kebakaran, tengah hari tadi.
Kebakaran itu turut menjejaskan sebuah rumah yang terletak di sebelah premis berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Penolong Kanan Penguasa Bomba Masri Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kejadian itu pada pukul 12.51 tengah hari dan seramai 21 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan rumah kedai perniagaan ‘spare part’ motosikal yang mengakibatkan kemusnahan 80 peratus serta sebuah rumah yang terjejas 60 peratus.
“Kebakaran itu disedari penghuni kedai motosikal tersebut selepas terbau asap. Apabila pemeriksaan dibuat di premis, dia mendapati telah berlaku kebakaran di bahagian hadapan kedai.
“Susulan itu ada barangan motosikal yang sempat diselamatkan, namun tidak banyak. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan serta operasi ditamatkan pada pukul 5.20 petang. – UTUSAN










