Bapa rayu Effzaldanish pulang, nenek bersedih - Utusan Malaysia

Bapa rayu Effzaldanish pulang, nenek bersedih

MUHAMMAD EFFZALDANISH Mohd. Effendy yang dilaporkan hilang sejak 28 Julai lalu masih belum ditemukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Bapa pelajar Tingkatan dua, Muhammad Effzaldanish Mohd. Effendy, 14,  yang hilang sejak 28 Julai lalu berharap anaknya pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat.

Hanya mahu dikenali sebagai Mohd. Effendy memberitahu, nenek Effzaldanish, Jaminah Shari, 90, sangat terkesan dengan kehilangannya sehingga hilang selera makan.

“Saya telah mencarinya di sekitar Pagoh, di kawasan ladang kelapa sawit sehingga ke Bukit Kepong. Saya turut bertanya dan memberitahu orang ramai yang saya temui jika ternampak Effzaldanish mohon salurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kali terakhir saya bertemu dengannya pada bulan lalu. Setiap bulan saya akan balik ke sini untuk bertanya khabar dia serta neneknya. Dia tidak menampakkan sebarang tindak-tanduk yang pelik atau mencurigakan, malah  memberitahu semuanya baik-baik sahaja, tiada masalah dengan kawan atau di sekolah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd. Effendy berkata, anaknya itu seorang yang pendiam dan tidak mempunyai ramai kawan. 

“Effzaldanish tinggal bersama neneknya sejak dia berumur tiga tahun selepas emak dia meninggal dunia kerana sakit kanser payudara. Setahu saya, kawan-kawan dia pun hanya dalam lingkungan kawan-kawan di sekolah dan kawasan perumahan sahaja.

“Saya harap Effzaldanish pulanglah segera, semua orang sayangkannya terutama sekali saya dan neneknya. Kami semua risau akan keselamatannya, makan apa, tinggal di mana, dengan siapa. Kami berdoa dia balik dengan segera dan selamat,” katanya dalam nada sebak.

Effzaldanish tinggal bersama neneknya di Pagoh, manakala Mohd. Effendy sudah berkahwin lain dan menetap di Tampin, Negeri Sembilan. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan terperinci.

Kali terakhir Effzaldanish dilihat menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin Riayat Shah 1, Pagoh pada pukul 7.10 pagi, kelmarin dengan memakai pakaian sekolah, iaitu kemeja putih dan berseluar hijau lumut.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat lokasi pelajar tersebut boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor P.S. Seventy menerusi talian 011-1625 1909, Hotline IPD Muar 06-9564800 atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN