MELAKA: Faktor kawasan yang rendah menjadi punca kejadian banjir kilat sering berulang di Jalan Tun Abdul Razak dan Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) di sini, sejak lebih 10 tahun lalu.
Pengerusi Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, kerajaan negeri memberi jaminan akan segera mengatasi permasalah itu sebaik sahaja agensi bertanggungjawab menemui jalan penyelesaian.
Ujarnya, memandangkan dua lokasi berkenaan berada di lembah, air hujan dari kawasan lebih tinggi akan mengalir ke situ lantas menyebabkan sistem perparitan sedia ada tidak mampu menampung aliran.
“Antara puncanya adalah kerana dua kawasan ini laluannya adalah di lembah, jadi air di kawasan kilang semua turun ke situ dan dalam masa sama longkang sedia adapun sudah tidak mencukupi untuk menampung air yang banyak.
“Kajian akan dilakukan bagaimana kita dapatkan satu solusi tuntas yang melibatkan pelbagai disiplin, pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggung jawab terhadap longkang dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk jalan raya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Penyerahan Sumbangan Bot Penyelamat kepada Balai Polis Tanjung Minyak di sini, hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, hujan lebat hampir empat jam sejak pukul 3 petang menyebabkan beberapa jalan utama di negeri ini dilanda banjir kilat.
Di Lebuh Ayer Keroh, hampir 10 kenderaan terkandas berikutan bah yang melimpahi laluan berkenaan.
Berdasarkan perkongsian JKR Melaka, laluan lain yang terjejas adalah Lebuh SPA berhampiran Jalan Autocity dan Jalan Gangsa serta Jalan Krubong menghala ke Pantai Belimbing.
Tambah Rais, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh telah mengarahkan PBT dan JKR mencari jalan penyelesaian segera untuk menoktahkan isu itu.
Jelasnya, pihaknya sedang menunggu perincian lanjut mengenai anggaran kos perbelanjaan bagi mengatasi banjir kilat di dua lokasi berkenaan.
“Ia mungkin melibatkan kos yang besar sebab ia memerlukan perancangan yang teliti kerana kawasan ini kerap berlaku banjir kilat sejak sekian lama jika hujan lebat sekitar dua atau tiga jam,” ujarnya. – UTUSAN











