PETALING JAYA: Selebriti sensasi, Azwan Ali, 58, tidak menolak sekiranya dikurniakan pasangan hidup walaupun sudah hampir menuju usia warga emas.
Mesra disapa Diva AA, katanya, dia berhajat untuk mendirikan rumah tangga walaupun ‘pasangannya’ selama ini adalah lima kucing yang dibela di rumah sebagai teman pengganti.
Azwan reda dan tidak menolak aturan Allah SWT sekiranya berpeluang untuk bernikah buat kali pertama dalam hidupnya.
“Sekarang saya memang rapat dengan Datuk Noora Kay dan saling mengenali antara satu sama lain. Dia pernah berkahwin sebelum ini dan sekarang sudah bergelar ibu tunggal.
“Ada pengikut yang melihat keserasian antara Diva AA dengan Datuk. Lucu sungguh. Saya juga menghormati Datuk Noora sebagai rakan niaga. Wanita ini teramat tegas dan perniagaan bagi kami adalah segala-galanya.
“Kalau calon isteri Diva AA itu adalah ‘mak janda’, mengapa tidak?,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini, semalam.
Adik kepada Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Azmin Ali ini memberitahu dirinya sudah lama menganggap Ziana Zain sebagai kawan rapat walaupun pelantun lagu Berpisah Jua adalah cinta pertamanya.
“Lupakan Ziana Zain. Ya, saya pernah terlalu kecewa dan ‘merajuk’ kerana Ziana Zain menolak cinta saya. Namun, kami masih berkawan baik sehingga sekarang.
“Iyalah, sudah usia begini, saya teringin juga mahu orang rumah yang boleh tolong masak di dapur. Sekarang pun, dapur berasap juga dan tetap meriah dengan kucing-kucing di rumah,” katanya.
Disoal ciri-ciri wanita idaman, Azwan tidaklah meletakkan syarat terlalu berat atau cerewet.
“Ada iras-iras Ziana Zain pun saya terima. Apa yang penting, dia mampu menahan leteran, bebelan dan makian Diva AA.
“Hidup ini keras. Kalau berani berumah tangga, mesti berani hidup semati dengan Diva AA,” ujarnya berseloroh.











