Asrama pekerja musnah dalam kebakaran - Utusan Malaysia

Asrama pekerja musnah dalam kebakaran

ANGGOTA bomba melakukan kerja-kerja pemadaman api dalam kejadian kebakaran asrama pekerja di tingkat atas sebuah rumah kedai di Taman Semarak, Nilai, Seremban awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah asrama pekerja yang terletak di tingkat atas sebuah rumah kedai di Taman Semarak, Nilai di sini, musnah dalam kejadian kebakaran awal pagi tadi. 

Kejadian kebakaran yang berlaku jam kira-kira 2.30 pagi itu telah mengakibatkan asrama pekerja berkeluasan 22×80 kaki persegi tersebut hangus terbakar 80 peratus. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai, Bakarya Mohd. Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran bangunan pada pukul 2.42 pagi.

“Susulan itu, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Nilai serta Mantin bersama satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu unit water tanker dengan kekuatan 18 anggota telah bergegas ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi, pihak bomba mendapati kebakaran melibatkan asrama pekerja berkeluasan 22×80 kaki persegi, hangus terbakar 80 peratus. 

“Empat pekerja warga tempatan berusia anggaran 60-an hingga 30-an yang menghuni asrama terbabit sempat menyelamatkan diri sebaik sahaja menyedari bau asap di bangunan tersebut,” katanya. 

Beliau berkata, bahagian bawah rumah kedai dua tingkat terbabit tidak terjejas bagaimanapun rumah kedai bahagian atas di kiri dan kanan mengalami kebakaran lima peratus. 

“Api dapat dikawal daripada kerja-kerja memadamkan kebakaran yang dilakukan pada pukul 3.10 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 5.19 pagi. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN