AS umum inisiatif RM23 juta bendung selesema burung

AS umum inisiatif RM23 juta bendung selesema burung

JANGKITAN selsema burung terbesar menyerang ayam, itik, ayam belanda dan burung-burung liar di Eropah. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATLANTA: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) semalam mengumumkan inisiatif bernilai AS$5 juta (RM23 juta) bagi menawarkan vaksin selesema bermusim kepada pekerja ladang ayam dan itik dalam usaha melindungi mereka daripada versi baru virus selesema.

Langkah itu dibuat berikutan laporan jangkitan virus selesema burung (H5N1), yang menular dalam jutaan haiwan ternakan dan haiwan liar.

Timbalan Pengarah CDC, Dr Nirav Shah berkata, matlamat utama inisiatif itu adalah untuk melindungi kesihatan dan keselamatan pekerja apabila virus selesema bermusim mula menular.

“Vaksin ini penting dalam melindungi para pekerja yang berpotensi terdedah kepada virus H5N1. Ia juga boleh mengurangkan risiko kemunculan versi baharu virus influenza A,” katanya seperti laporan CNN.

Menurut Shah, di bawah inisiatif baru itu, vaksin selesema bermusim tidak akan diwajibkan untuk pekerja ladang, sebaliknya diberikan atas dasar kepercayaan dan prinsip sukarela.

CDC semalam mendedahkan, sebanyak sembilan kes H5N1 dilaporkan dalam kalangan pekerja ladang ayam dan itik di Colorado dalam penularan terbaharu virus berkenaan.

Pegawai tempatan yang mengesahkan perkara tersebut memberitahu, mangsa mengalami keradangan mata dipercayai selepas terkena jangkitan di sebuah ladang di timur laut negeri itu.

Jika dua virus selesema yang berbeza menjangkiti seseorang, ia berisiko mencipta virus baru dengan ciri-ciri daripada setiap strain, yang mungkin lebih mudah menular, mengakibatkan maut atau imun terhadap rawatan sedia ada. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×