Ajaran Millah Abraham: Jabatan Pendakwaan Syariah N. Sembilan fail rayuan - Utusan Malaysia

Ajaran Millah Abraham: Jabatan Pendakwaan Syariah N. Sembilan fail rayuan

Lelaki yang dituduh mengajar kepercayaan bertentangan agama Islam berkaitan ajaran Millah Abraham kepada isterinya, Norasid Md. Said dibawa ke Kompleks Kehakiman Syariah Negeri Sembilan di Sendayan, Seremban, semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan akan memfailkan permohonan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan berhubung kes mengajar ajaran sesat berkaitan Millah Abraham yang disabitkan terhadap seorang lelaki semalam.

Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Raja Mazelan Raja Deraman berkata, pihak pendakwaan menghormati keputusan yang telah dibuat namun berasakan hukuman yang dijatuhkan terlalu ringan. 

“Hukuman yang dijatuhkan dirasakan terlalu ringan dan tidak memadai dengan kesalahan yang telah dilakukan.  

“Kami juga berpendapat hukuman tegas dan keras perlu dijatuhkan bagi membendung kes-kes ajaran sesat yang berleluasa tumbuh bagai cendawan khususnya di Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini

Menurut Raja Mazelan, pihaknya percaya yang mahkamah telah terkhilaf dan gagal mempertimbangkan keputusan yang wajar daripada beberapa sudut tertentu khususnya kesalahan yang telah dilakukan. 

Jelas beliau, ini kerana kesalahan dilakukan adalah sangat serius, berat dan melibatkan akidah.  

“Sewajarnya perkara ini diberikan perhatian yang sangat serius oleh mahkamah dan tidak boleh sesekali disamakan dengan kesalahan lain,” katanya

Beliau mengulas berkenaan hukuman denda RM2,000 dan penjara sebulan yang dijatuhkan terhadap seorang pemuzik jalanan di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengajar kepercayaan bertentangan agama Islam berkaitan ajaran Millah Abraham kepada isterinya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tambahan sebulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda terbabit.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah mengajar ajaran salah yang berlawanan dengan hukum syarak kepada isterinya yang berusia 51 tahun dengan menyatakan ‘Selepas kewafatan Nabi Muhammad akan muncul Rasul baru’.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah Felda Palong 3, Gemas di Tampin antara 1 September hingga 30 September 2023.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992, pindaan 2019.

Sebelum itu, Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Abdul Wafi Ramli memohon mahkamah mengenakan hukuman denda maksimum dan pemenjaraan.

Beliau turut berpandangan kesalahan dilakukan adalah berat yang berkaitan dengan akidah dan boleh memberi kemudaratan kepada agama.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudiannya merayu dikenakan hukuman ringan dan mengaku telah bertaubat serta tidak akan mengulanginya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×