Agong tonggak kekuatan negara dan rakyat – PM

Agong tonggak kekuatan negara dan rakyat – PM

ANWAR Ibrahim semasa mempersembah ucapan tahniah dan taat setia mewakili kerajaan dan rakyat di hadapan Sultan Ibrahim, sempena Istiadat Pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 di Istana Negara, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan, kerajaan pimpinannya akan terus konsisten meningkatkan tahap kecintaan dan kesetiaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Perdana Menteri memberi jaminan itu semasa mempersembah ucapan tahniah dan taat setia mewakili kerajaan dan rakyat di hadapan Sultan Ibrahim, sempena Isti­adat Pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 di Istana Negara, semalam.

Kata beliau, institusi Yang di-Pertuan Agong adalah tonggak kekuatan negara dan rakyat pelbagai kaum, selain berperanan sebagai penaung agama Islam sebagai agama Persekutuan, pengukuh kedudukan bahasa Melayu, pembela hak dan keistimewaan orang Me­layu dan bumiputera.

“Ini di samping menjamin kesaksamaan dan keadilan bagi semua warga dalam memaknai prinsip Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

“Tuanku turut berperanan dalam menjamin jalinan erat di antara negara di peringkat ASEAN, negara-negara Islam dan di peringkat antarabangsa,” katanya dalam ucapan penuh bersejarah itu.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus berusaha menekankan nilai-nilai murni, pemantapan akhlak dan pe­ngukuhan jati diri bangsa dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ucap Anwar, kerajaan dan rakyat Malaysia juga berikrar akan sentiasa menumpahkan taat setia kepada Sultan Ibrahim selain mendoakan rahmat dan inayah kepada Seri Paduka.

“Dalam usaha mewujudkan reformasi dan transformasi, kerajaan akan terus konsisten dalam menekankan nilai-nilai murni, pemantapan akhlak dan pengukuhan jati diri bangsa.

“Ikhtiar diteruskan dengan pendekatan menekankan reformasi pendidikan dan ke­sihatan melalui peningkatan tahap dan kualiti prasarana, aspek penguasaan bahasa Inggeris serta penerokaan bidang-bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI), transformasi digital dan peralihan tenaga,” katanya.

Kata Perdana Menteri, kerajaan dan rakyat akan mengharungi liku gelora ekonomi dunia melalui prakarsa baharu yang mampan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Jelasnya, langkah-langkah tegas seperti yang digariskan dalam kerangka Ekonomi Madani mencetus kadar pertumbuhan memberangsangkan 5.8 peratus bagi suku ke­dua tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN