KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Abdul Razak Baginda perlu menjawab beberapa persoalan dalam kes saman keluarga Altantuya Shaariibuu bagi menjelaskan dakwaan konspirasi yang mengaitkannya dengan pembunuhan model Mongolia itu.
Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera berpendirian, hanya Abdul Razak yang boleh memberi maklum balas persoalan yang dibangkitkan dalam saman itu selepas beliau mengaku menjalin hubungan romantik dengan Altantuya di antara November 2004 dan Ogos 2005.
Namun demikian, keengganan beliau memberi keterangan bersumpah atau mengemukakan saksi ketika perbicaraan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam menyebabkan mahkamah membuat inferens yang bertentangan dengan kepentingannya.
“Hanya Razak boleh menjawab beberapa persoalan yang timbul. Walaupun berpeluang membuat penjelasan dalam kandang saksi, dia memilih untuk tidak berbuat demikian.
“Terdapat motif serong yang jelas di pihak defendan ketiga (Abdul Razak) apabila berhujah bahawa tiada kes yang perlu dijawab dalam tuntutan saman tersebut,” kata Hakim Vazeer dalam penghakiman bertulis setebal 90 muka surat bertarikh 27 Jun lalu.
Beliau yang kini hakim Mahkamah Persekutuan menyatakan demikian ketika menggariskan alasan mengapa Mahkamah Tinggi memutuskan Cif Inspektor Azilah Hadri, Koperal Sirul Azhar Umar, Abdul Razak, dan Kerajaan Malaysia dipertanggungjawabkan atas kematian Altantuya.
Pada 16 Disember 2022, Vazeer yang ketika itu bersidang di Mahkamah Tinggi Shah Alam turut memerintahkan keempat-empat pihak secara bersama membayar ganti rugi sebanyak RM5 juta kepada keluarga mangsa.
Dalam penghakiman bertulis yang diperoleh pihak media hari ini, Hakim Vazeer mengambil maklum bahawa Azilah pernah memberitahu Abdul Razak bahawa dia boleh `habiskan perempuan itu’, dalam suatu pertemuan di pejabat penganalisis politik itu pada 17 Oktober 2006.
Abdul Razak dikatakan menjawab bahawa tidak perlu bertindak sebegitu ekstrim, kerana keluarga Altantuya pasti akan mencarinya jika apa-apa berlaku pada wanita itu.
Mereka menunjukkan bahawa kali terakhir Altantuya dilihat masih hidup adalah pada malam 19 Oktober 2006, ketika meninggalkan kawasan mes pegawai Bukit Aman dalam kereta Sirul bersama kedua-dua anggota polis itu.
“Jika benar Abdul Razak berkata demikian, maka dia sepatutnya beri keterangan bersumpah untuk menjelaskan mengapa Azilah dipanggil untuk urus mendiang pada malam 19 Oktober 2006, apabila wanita itu berada di luar kediamannya.
“Pengisytiharan yang membebaskan dirinya daripada tuduhan serta penafian liabiliti bagi kematian si mati seperti yang terkandung dalam pembelaannya yang telah dipinda, tidak membawa sebarang makna tanpa testimoni di mahkamah,” katanya.
Plaintif yang terdiri daripada bapa Altantuya, iaitu Shaariibuu Setev, ibunya Altantsetseg Sanjaa, serta anaknya, Mungunshagai, memfailkan saman pada 2007 dan mendakwa terdapat suatu konspirasi terhadap pembunuhan wanita itu. Mereka menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta.
Altantuya ditembak mati pada 2006 di hutan di Puncak Alam berdekatan Shah Alam. Mayatnya diletupkan dengan bom C4. Azilah dan Sirul disabit membunuh dan dijatuhi hukuman mati.
Abdul Razak yang juga bekas pembantu kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, dituduh bersubahat namun kemudian dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.
Sirul melarikan diri ke Australia sebelum rayuan terakhirnya, manakala Azilah menanti hukuman mati di Penjara Kajang. Kedua-dua mereka tidak mencabar saman keluarga Altantuya.











