KOTA BHARU: Sebanyak 92 projek pembangunan di Kelantan yang diluluskan oleh kerajaan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) menerusi Rolling Plan Keempat 2024 akan dimulakan pada tahun ini.
Pengarah Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) (PPNK ICU JPM) Jasri Kasim, berkata, kerja-kerja tersebut akan bermula sejurus prosedur rutin dijalankan termasuk proses tander.
Menurutnya, ia melibatkan 16 projek utama yang dilaksanakan menerusi peruntukan baharu itu termasuk Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB)-Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Kota Bharu, PLSB Sungai Golok Fasa 3, dan kerja awalan menaik taraf jalan di Bandar Baru Tunjong.
“Pada masa sama ia turut melibatkan kerja-kerja awalan menaik taraf Jalan Salor, pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Binjai, pembinaan blok Patologi Tambahan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), sistem bekalan air luar bandar di Kampung Manek Urai dan Laloh,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Apresiasi di Pejabat ICU, JPM di Tunjong, di sini hari ini.
Jasri memberitahu, secara keseluruhan sebanyak 445 projek pembangunan menerusi Rolling Plan Keempat telah diluluskan oleh kerajaan melibatkan peruntukan lebih RM2.81 bilion.
Katanya, membabitkan sebanyak 92 projek baharu serta 353 projek sambungan.
“Bberdasarkan prestasi semasa, sebanyak 42.72 peratus iaitu RM1.19 bilion peruntukan telah dibelanjakan bagi pelaksanaan projek-projek tersebut daripada asal,” ujarnya.–UTUSAN










