REMBAU: Sebanyak 80 buah Sekolah Menengah Vokasional (SMV) dinaik taraf kepada Kolej Vokasional (KV) dalam usaha memartabatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 23 projek naik taraf telah selesai dilaksanakan manakala selebihnya masih lagi dalam proses kerja-kerja berkaitan.
Menurut beliau, kolej vokasional harus menjadi peneraju kepada kepakaran dalam negara selari dengan reformasi dan agenda pendidikan di peringkat Kementerian Pendidikan.
“Menjadi hasrat kementerian untuk memastikan pelajar KV lebih berdaya saing serta institusi berkenaan mampu melahirkan lebih banyak kepakaran khususnya berkait rapat dengan program yang ditawarkan.
“Saya sangat berharap kolej vokasional ini mesti terus menjadi peneraju kepada kepakaran dalam negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan dan Perasmian Bangunan Projek Naik Taraf SMV Dato’ Lela Maharaja kepada Kolej Vokasional di sini, hari ini.
Fadhlina dalam pada itu berkata, sebanyak RM10.4 juta peruntukan disalurkan bagi menaik taraf SMV Dato’ Lela Maharaja dengan pembinaannya siap pada 27 Mei 2022 membabitkan lima daripada sembilan program yang ditawarkan di institusi berkenaan.
Menurutnya, naik taraf bangunan dan fasiliti yang terlibat antaranya adalah bengkel kayu dan rumah orkid bagi Program Landskap, Pusat Asuhan Ikan bagi Program Akuakultur dan Kandang Lembu Tenusu bagi Program Agroindustri Ternakan Ruminan.
“Kolej vokasional ini yang mempunyai 760 pelajar diharapkan mampu melahirkan ramai usahawan tani yang menguasai pasaran tempatan dan peringkat global serta mampu menyumbang kepada keterjaminan makanan negara,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Fadhlina meminta semua golongan pendidik mengambil kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari sudut pandang positif berhubung guru yang melanggar disiplin harus dikecualikan naik pangkat secara time based.
Beliau juga tidak menolak bahawa terdapat sebilangan kecil guru yang gagal menjalankan tanggungjawab mereka.
“Tetapi secara keseluruhannya kami di Kementerian Pendidikan memberikan jaminan guru-guru yang terlatih, cukup komited dan memberikan tumpuan sepenuhnya jiwa raga mereka untuk pendidikan negara.
“Apatah lagi kita sedang melangkah ke agenda-agenda yang penting berkaitan dengan kurikulum baharu 2027 (Kurikulum Persekolahan 2027) termasuklah pelan pembangunan pendidikan 2025 dan sekarang ini sedang membina pelan pendidikan yang baharu,” katanya.-UTUSAN.










