ARAU: Kenaikan kos tanaman selain isu harga belian terlalu rendah antara faktor golongan muda tidak berminat mengusahakan sawah padi berikutan ia bukan lagi pekerjaan yang menguntungkan.
Difahamkan pendapatan bersih bagi tanaman seluas satu relung atau 0.3 hektar hanyalah sekitar RM400 ke RM500 dan pulangan tersebut tidak menarik golongan muda untuk terlibat.
Malah, anak muda yang mengusahakan tanaman padi khususnya di Perlis dikatakan tidak sampai 10 peratus.
Majoriti yang masih bertahan dengan kerja-kerja bendang berumur 50 tahun dan ke atas sehingga yang berusia 70 tahun juga dilihat masih mengusahakannya.
Ia sekali gus menimbulkan persoalan terhadap masa depan industri padi dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang sekiranya masih terlalu bergantung kepada golongan berusia untuk mengusahakannya.
Di Perlis, difahamkan kawasan padi juga menyusut sebanyak 2,385 hektar dalam tempoh lima tahun lalu dengan pesawah beralih kepada tanaman lain selain digunakan untuk tujuan pembangunan.
Jika hal ini berlarutan, dibimbangi tanah sawah akan terbiar begitu sahaja atau dibangunkan untuk tujuan lain sekali gus bakal menyebabkan hasil pengeluaran padi di negeri ini merosot.
Perlu diingat, Perlis turut membantu menyumbang kira-kira 11 peratus kepada pengeluaran beras negara.
Sebagai rekod, jumlah keluasan tanaman padi di Perlis ketika ini ialah 29,200,72 hektar berbanding 31,586 hektar pada 2018 dengan jumlah pesawah di dalam dan luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sebanyak 15,960 orang.
Kebimbangan tersebut juga ada asasnya apabila minggu lalu, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 15,960 pesawah di dalam dan luar kawasan MADA di negeri ini dijangka mengalami penyusutan pendapatan sehingga 30 peratus berikutan terpaksa menanggung kenaikan pelbagai kos kesan penyasaran subsidi diesel.
Seorang pesawah, Sukardi Md. Dali, 58, berkata, orang muda kebanyakannya sudah tidak berminat mengusahakan bendang kerana berpendapat ia bukan lagi pekerjaan yang memberikan pendapatan lumayan selain dilihat tidak berbaloi apabila kos juga semakin tinggi.
Katanya, di Perlis kalau dilihat sekitar 10 peratus sahaja golongan muda terlibat dengan kerja-kerja sawah dan itupun kebanyakan mereka meneruskan usaha keluarga.
Ujarnya, pada masa ini pendapatan bersih bagi tanaman seluas satu relung atau 0.3 hektar adalah sekitar RM400 ke RM500 di mana jumlah itu dilihat tidak lagi menarik golongan muda untuk terlibat.
“Orang mengusahakan bendang dalam tempoh 30 atau 40 tahun pun sekadar cukup makan sahaja dan tidak ada simpanan. Kerja-kerja di sawah ini hanya untuk menampung kehidupan seharian walaupun perlu mengerah kudrat untuk mengusahakan tanaman ini.
“Sebagai contoh, musim ini tuai, pendapatan tersebut hanya lepas makan sehingga menanti musim baharu pula. Kita juga kadang-kala terfikir mengenai masa depan industri padi ini apabila tidak ada lagi orang muda yang berminat mengusahakan tanaman padi.
“Mungkin dalam tempoh lima atau 10 tahun ke depan, ia hanya dimonopoli oleh mereka yang mempunyai modal besar atau menukar kawasan tanaman padi kepada pembangunan lain seperti inap desa atau sebagainya. Mungkin pesawah juga akan beralih kepada tanaman lain yang lebih menguntungkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, pemerhatian Utusan Malaysia di Kampung Sungai Bakong di sini mendapati pasangan warga emas berusia 70 dan 64 tahun masih kuat dan terus bertahan mengerah kudrat mengusahakan tanaman padi. – UTUSAN











