JEMPOL: Seorang warga wanita emas wanita maut dilanggar sebuah motosikal Ketika dia sedang berbasikal di Kilometer Lima, Jalan Bahau-Kemayan, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.10 pagi ketika penunggang motosikal iaitu seorang lelaki berusia 27 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Bahau menuju ke Kemayan.
Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, dipercayai penunggang basikal iaitu seorang Wanita berumur 69 tahun itu telah melintas jalan menyebabkan penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu telah melanggar mangsa terbabit.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, penunggang basikal itu telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta patah kaki kanan dan telah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Penunggang motosikal itu mengalami kecederaan di bahagian dagu serta pipi kanan dan telah menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Chang Hook lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.
Sehubungan itu, polis meminta agar saksi kejadian berkenaan supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, Inspektor Mohd. Amirul Syafiq Mohd. Yusof menerusi nombor 016-2348669 bagi membantu siasatan.-UTUSAN.









