Wanita pulang mengaji al-Quran maut dalam kemalangan tiga kenderaan - Utusan Malaysia

Wanita pulang mengaji al-Quran maut dalam kemalangan tiga kenderaan

KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam nahas tiga buah kenderaan di Kilometer 32.5, Jalan Seremban-Tampin, dekat Rembau tengah hari tadi.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang wanita warga emas maut selepas terbabit nahas tiga buah kenderaan di Kilometer 32.5 Jalan Seremban-Tampin di sini pada pukul 1.15 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Shaik Abd. Kadar Shaik Mohamed berkata, kemalangan membabitkan sebuah Perodua Axia yang dipandu warga emas berkenaan, kereta jenis Proton Iswara dipandu lelaki berusia 49 tahun dan kereta jenis Proton Wira dipandu lelaki berumur 22 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta Perodua Axia dari arah Rembau menghala ke Tampin dan sebaik sampai di lokasi kejadian, pemandu kereta berkenaan hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

“Kereta tersebut melanggar kereta Proton Iswara yang datang dari arah bertentangan. Akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu kereta jenis Proton Wira yang datang dari arah belakang kereta Proton Iswara tidak sempat mengelak lalu melanggar di bahagian belakang sebelah kiri.

“Pemandu kereta jenis Perodua Axia telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta Perodua Iswara pula berada di zon kuning, Hospital Rembau bagi rawatan lanjut kerana kecederaan di bahagian kepala dan badan,” katanya.

Menurutnya, pemandu kereta Proton Wira tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, mangsa yang meninggal dunia itu dikenali sebagai Zahariah Shariff, 66, yang beralamat di Kampung Lada, Chengkau dan ketika kejadian mangsa dikatakan baru sahaja balik dari mengaji al-Quran di sebuah madrasah.

Orang awam, Haris Fadli Harun, 36, ketika ditemui memberitahu, ketika dia melalui kawasan tersebut dari arah Tampin ke Rembau kesemua mangsa masih lagi berada di dalam kenderaan masing-masing.

“Saya bersama orang awam yang lain membantu membuka pintu kereta Perodua Axia dan jelas kelihatan beg berisi al-Quran di riba wanita berkenaan. Wanita tersebut tersepit di bahagian kaki dan kami menunggu bantuan tiba,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN