SEREMBAN: Seorang wanita warganegara Filipina maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Laman Sendayan, di sini pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan berkata, dalam kemalangan kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa seorang merupakan pemandu kereta Perodua Kancil maut di lokasi kejadian manakala penumpangnya warganegara sama dan seorang lagi pemandu Perodua Myvi mengalami kecederaan.
Menurut jurucakap JBPM, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.40 pagi sebelum bergegas ke lokasi dan tiba 13 minit kemudian.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2 telah dikejarkan ke lokasi kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan Perodua Kancil.
“Pemandu Perodua Myvi seorang lelaki cedera, penumpang Perodua Kancil juga cedera manakala pemandunya disahkan meninggal dunia. Kedua-dua mangsa wanita adalah warga Filipina,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa di dalam Perodua Kancil tersepit di dalam kereta dan berjaya dikeluarkan menggunakan alat hidraulik.
“Mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak ambulans manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.-UTUSAN.









