PETALING JAYA: Langkah kerajaan menurunkan harga telur sebanyak 3 sen sebiji berpotensi mencetuskan permintaan tinggi yang bakal menjejaskan bekalan sedia ada.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, peningkatan sedikit sebanyak lima peratus mampu menyebabkan kekurangan satu juta telur daripada bekalan 21 juta sedia ada.
Justeru, katanya, sekiranya perkara itu berlaku, maka krisis bekalan telur akan berulang sekali gus menyebabkan kenaikan harga memandangkan bekalan telur tidak boleh dipertingkatkan dalam tempoh jangka pendek begitu sahaja.
“Oleh itu, dikhuatiri keputusan kerajaan untuk mengurangkan harga telur mungkin memudaratkan rakyat, dan akhirnya menyebabkan kerajaan berbelanja lebih untuk mensubsidikan telur yang telah pun mencecah RM927 juta tahun ini,” katanya dalam hantaran di laman sosial, semalam.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan memutuskan harga runcit bagi telur diturunkan, selaras usaha mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat.
Ia melibatkan telur gred A, B dan C di seluruh negara yang diturunkan sebanyak 3 sen sebiji membabitkan perbelanjaan kerajaan berjumlah RM100 juta
Oleh itu, Ka Siong menggesa kerajaan memastikan bekalan telur ayam tidak terjejas seperti mana yang pernah berlaku sebelum ini.
“Walaupun bekalan telur stabil dalam beberapa bulan ini, namun ia masih lagi kurang berbanding tahun 2019. Ini jelas menunjukkan bahawa industri ternakan ayam masih belum pulih sepenuhnya,” katanya.











