BATU PAHAT: Tiga maut manakala seorang parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta BMW 3 Series dan lori di Kilometer 123.6, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Pagoh di sini, malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan II, Jefri Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.23 malam.
“Terdapat empat orang yang menaiki BMW dengan tiga daripadanya tersepit. Anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mereka yang tersepit.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dan tiga mangsa termasuk seorang lelaki dan dua wanita disahkan meninggal di tempat kejadian.
“Mereka diserahkan kepada polis bagi tindakan susulan, manakala seorang lagi mangsa, iaitu wanita mengalami kecederaan parah serta dibawa ke hospital berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini..
Operasi tamat pada pukul 9.59 malam. – UTUSAN









