Tiga lemas Toyota Vellfire terbabas dalam longkang - Utusan Malaysia

Tiga lemas Toyota Vellfire terbabas dalam longkang

ANGGOTA bomba mengeluarkan tiga mangsa yang lemas selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas dalam longkang di Danga Bay, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiga rakan lemas apabila Toyota Vellfire yang dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang sedalam dua meter di kawasan Danga Bay, di sini hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Pegawai Bomba Kanan I, Haizrul Rahmad berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kejadian itu pada pukul 7.20 pagi.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati terdapat tiga mangsa terdiri daripada seorang lelaki berusia 31 tahun dan dua wanita, masing-masing berumur 35 dan 28 tahun lemas setelah terperangkap di dalam kenderaan berkenaan.

“Anggota bertindak mengeluarkan mangsa daripada kenderaan itu dan membawa mangsa naik menggunakan tali dan pengusung,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, wanita berusia 35 tahun itu berasal dari Johor, manakala dua lagi mangsa berasal dari Melaka.

“Kesemua mereka disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi ditamatkan pada pukul 8.40 pagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN