Tidak ada pengambilan punca jururawat kurang

Tidak ada pengambilan ketika pandemik punca jururawat kurang

jururawat
PERSATUAN jururawat menolak cadangan penambahan waktu kerja selama tiga jam seminggu dan mendakwa mereka sudah pun bekerja lebih daripada waktu ditetapkan di bawah skim kerja 42 jam seminggu ketika ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masalah ke kurangan jururawat bukan sahaja dihadapi oleh hospital swasta tetapi turut dirasai oleh hospital kerajaan ekoran tiada pengambilan pelajar yang dilakukan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Presiden Kesatuan Jururawat Malaya (MNU), Saaidah Athman berkata, langkah bagi mengatasi masalah kekurangan jururawat yang dijangka meningkat ke 50 peratus menjelang 2030 dipercayai akan diusahakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad dan kementeriannya.

Menurutnya, permasalahan dan kekurangan jururawat di hospital swasta berpunca daripada kewujudan banyak hospital di sektor tersebut sehingga sumber manusia tidak dapat menampung permintaan.

“Kekurangan jururawat bukan berlaku di hospital swasta sahaja tetapi juga di hospital kerajaan di mana kami (terpaksa) menggunakan sumber manusia semaksimum mungkin (untuk menggantikan ke­perluan).

“Sekarang (jika kita lihat) banyak hospital swasta dibuka, jadi bila sumber manusia sedia ada pun tidak mencukupi maka memang tidak dapat tampung sebab itu alternatif mereka terpaksa mengimport jururawat dari luar.

“Di hospital kerajaan pula memang kita akan pastikan fasiliti baharu ingin dibuka, ia mempunyai sumber manusia yang mencukupi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Masalah

Akhbar ini melaporkan sebanyak 220 hospital swasta di seluruh negara terus berdepan masalah kekurangan jururawat yang boleh menjejaskan operasi mereka dan industri pelancongan kesihatan di negara ini.

Perkara itu diburukkan lagi apabila Kementerian Sumber Manusia belum meluluskan kemasukan 9,200 jururawat dari Filipina dan India.

Langkah itu bertentangan dengan keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) sudah meluluskan kemasukan jururawat tersebut dengan memberi pengecualian termasuk membuka kelayakan pasca asas jururawat luar negara untuk bekerja di hospital-hospital swasta.

Berdasarkan jawapan KKM di Dewan Rakyat, terdapat 2,106 kekosongan jururawat pada 2020 dan angka itu me­ningkat kepada 2,224 (2021) dan 4,420 (2022) dan terkini, 6,896 pada 2023.

Dalam pada itu, Saaidah menyangkal dakwaan me­ngatakan masalah kekurangan jururawat dihadapi negara ini berpunca daripada penghijrahan tenaga kerja itu ke luar negara.

“Daripada jumlah bancian dan data, ia tidak menunjukkan jumlah jururawat berhij­rah ke luar negara sehingga 50 peratus, angka sama sahaja iaitu sekitar empat peratus.

“Ini menunjukkan tiada penambahan mendadak seperti berhenti secara besar-besaran, jadi saya yakin KKM dapat susun langkah,” katanya.

Sementara itu, seorang jururawat masyarakat yang enggan dikenali memberitahu Utusan Malaysia, elaun dan bebanan tugasan tidak setimpal antara punca kebanyakan jururawat sanggup meninggalkan kerjaya mereka.

Menurutnya, bebanan tugas golongan sepertinya terlalu berat dan gaji yang ditawarkan pula sedikit.

“Saya yang bekerja hampir 20 tahun, gaji asas diterima tidak melebihi RM3,500,” katanya.

Tambahnya, mereka juga terdedah dengan pelbagai risiko kemalangan apabila bertugas di kawasan luar tetapi elaun kritikal langsung tidak diberikan.

“Jururawat masyarakat ter­paksa masuk ke kawasan pedalaman, kampung dan terdedah dengan risiko kemalangan tetapi tiada elaun kritikal bagi kami,” katanya.

Perbincangan

Dakwanya, pihak jururawat sudah banyak kali membawa isu ini kepada persatuan, perbincangan dilakukan tetapi hanya senyap dan luahan mereka tidak diendahkan.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Jururawat Islam Malaysia (INAM), Zamri Shahri berkata, polisi terbaharu Si­ngapura yang lebih mudah menerima rakyat Malaysia dengan tawaran gaji lebih tinggi menjadikan masalah kekurangan jururawat sema­kin bertambah.

“Bebanan tugas bagi jururawat memang banyak, tetapi kalau ditawarkan dengan gaji setimpal, tambahan dengan Singapura yang budaya kerja lebih dekat dengan Malaysia, ramai pilih untuk berhijrah,” ujarnya.

Jelasnya, situasi ini sedikit sebanyak menjadi faktor kepada kurangnya jururawat di negara ini dan mengganggu produktiviti kesihatan Malaysia.

Tambahnya, penambahan fasiliti kesihatan baharu oleh kerajaan dan swasta turut dilihat tidak mampu memberi kesan yang efektif dalam menaik taraf sektor kesihatan di Malaysia.

“Di Malaysia, dianggarkan nisbah seorang jururawat bagi pesakit ialah sebanyak 1:300 yang masih jauh daripada kadar 1:200 diunjurkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Dengan pembukaan lebih banyak fasiliti kesihatan, namun pada masa sama tiada peningkatan jumlah jururawat yang signifikan hanya akan menjauhkan lagi jurang nisbah tersebut,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN