PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengehadkan atau menetap kuota belian padi bagi setiap kilang bagi memastikan broker padi dan taikun beras tidak terus bermaharajalela dan menguasai industri beras negara.
Langkah yang akan membeli peluang sama rata kepada semua pengilang itu juga dapat membantu pengilang beras bumiputera untuk terus bertahan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, agak menghairankan apabila tiada tindakan tegas daripada kerajaan sedangkan mereka tahu apa yang berlaku dalam industri beras ketika ini.
KAWAL
“Sebelum ini, kita sendiri mencadangkan kepada Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) untuk mengawal beras import untuk membantu industri beras tempatan tetapi selepas setahun, kita masih ada masalah beras putih tempatan tiada dalam pasaran.
“Tambah pelik, rakyat boleh mendapatkan beras putih tempatan dengan mudah dalam program jualan yang dianjurkan kerajaan tetapi tidak di kedai biasa. Akibatnya, rakyat sudah terbiasa membeli beras dengan harga import,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, banyak pengilang Melayu gulung tikar dan pengilang bukan bumiputera tidak boleh bersaing apabila ada satu atau dua taikun menguasai pemborongan, peruncitan dan pengilangan beras.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, sejumlah syarikat besar atau taikun beras didakwa mengawal kumpulan broker padi dan menawarkan harga belian padi yang tinggi iaitu antara RM1,600 hingga RM1,800 per tan metrik kepada pesawah.
PELESEN
Golongan taikun yang dikatakan menguasai lebih 70 peratus bekalan beras negara juga didakwa akan memberi komisen antara RM100 sehingga RM200 per tan kepada pelesen-pelesen atau broker untuk membawa padi kepada syarikat atau kilang-kilang besar terlibat.
Rashid berkata, petani tidak wajar dipersalahkan kerana menerima tawaran harga yang lebih baik itu tetapi kerajaan perlu mengawalnya supaya taikun tidak bermaharajalela dan akhirnya rakyat terbanyak yang menanggung harga beras yang tinggi kerana sukar mendapatkan beras tempatan.
Harga lantai padi yang ditetapkan kerajaan adalah RM1,300 setan, yang dinaikkan daripada RM1,200 setan pada Oktober tahun lalu.
“Industri padi merupakan industri yang penting kerana ia makanan ruji rakyat. Jika tidak ada kawalan dalam industri beras ini, memang pelik. Ramai yang terkesan,” ujarnya. – UTUSAN










