PETALING JAYA: Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia menafikan bahawa akan berlaku kenaikan kadar tambang bas sekolah susulan penyasaran subsidi diesel dilaksanakan kerajaan.
Sebaliknya, Presidennya, Mohd. Rofik Mohd. Yusoff memberi jaminan tiada kenaikan tambang bas sekolah sehingga Disember tahun ini selepas pihaknya masih menerima subsidi diesel iaitu pada harga RM1.88 per liter seperti diumumkan kerajaan sebelum ini.
Katanya, beliau amat terkejut apabila dimaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada pengusaha bas sekolah yang akan berdepan tindakan sekiranya menaikkan kadar tambang.
“Kami berjanji tiada kenaikan kadar tambang bas sekolah yang akan dikenakan kepada ibu bapa kerana kami masih menerima subsidi. Jadi tiada isu sebenarnya.
“Bagaimanapun, saya tidak menolak kemungkinan jika ada pengusaha menaikkan kadar tambang adalah mereka yang tidak berdaftar sebagai ahli persatuan dan mungkin juga tidak berdaftar dengan APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat),” katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, Perdana Menteri memberi amaran kepada pengusaha bas untuk tidak menaikkan tambang bas susulan penyasaran subsidi diesel baru-baru ini.
Jelasnya, tindakan itu tidak seharusnya berlaku memandangkan mereka menerima subsidi diesel menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
“Kamu (pengusaha) diberi subsidi minyak dan kamu naik (tambang), kamu jaga.
“Saya tidak tahu orang lain tapi kalau saya, kalau kamu naik (tambang) juga dengan keadaan kamu dapat subsidi, kami tarik lesen kamu, batalkan syarikat kamu. Kalau tidak anak kita di sekolah terbeban,” kata Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Mohd. Rofik berkata, kadar tambang bas sekolah ketika ini kekal seperti yang dipersetujui oleh pihak pengusaha dengan ibu bapa.
“Kerajaan membuat regulasi bahawa kadar tambang bas sekolah perlu dipersetujui oleh kedua-dua pihak iaitu ibu bapa dan pengusaha. Jadi kadar itu masih kekal tanpa kenaikan.
“Jika ada sebarang kenaikan, ia bukan dilakukan oleh ahli persatuan sebaliknya pihak tidak bertanggungjawab yang mungkin mengusahakan bas sekolah secara haram iaitu tidak berdaftar dengan APAD,” katanya. – UTUSAN










