KANGAR: Sejumlah syarikat besar atau taikun beras didakwa mengawal kumpulan broker padi sehingga mereka mampu menawarkan harga belian padi yang tinggi iaitu antara RM1,600 hingga RM1,800 per tan metrik kepada pesawah.
Golongan taikun yang dikatakan menguasai lebih 70 peratus bekalan beras negara itu kemudiannya didakwa akan memberi komisen antara RM100 sehingga RM200 per tan kepada pelesen-pelesen atau broker berkenaan untuk membawa padi kepada syarikat atau kilang-kilang besar terlibat.
Menurut sumber dalaman sebuah kilang beras, tawaran lumayan itu secara tidak langsung membuka ruang kepada syarikat-syarikat besar ini memanipulasi proses pembungkusan yang menyaksikan beras tempatan ‘bertukar’ menjadi beras import selain dijual dengan harga lebih tinggi.
Dakwanya, bagi mengelirukan pihak berkaitan, syarikat-syarikat yang terlibat akan membungkus kira-kira satu atau dua peratus sahaja beras sebagai beras tempatan.
Berikutan itu, katanya, bekalan beras tempatan masih sukar didapati di pasaran dengan isu berkenaan sudah berlarutan lebih setahun.
“Taikun-taikun ini yang taja dan sokong broker-broker padi ini. Disebabkan masalah itu juga, kilang-kilang kecil, pemborong-pemborong kecil ini ‘mati’.
“Beras tempatan ini dijual sebagai import dan mungkin dalam satu peratus yang dipek sebagai beras tempatan dan dijual harga RM26.00 di program-program jualan.
“Apabila melibatkan harga belian padi yang tinggi oleh broker dan syarikat atau kilang-kilang besar ini, kilang lain yang lebih kecil terpaksa mengikut rentak tersebut sekali gus menanggung kerugian,” katanya.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, isu ketiadaan beras putih tempatan yang didakwa dibungkus pengilang sebagai beras putih import, sukar dibendung daripada awal kerana petani sendiri tiada pilihan untuk menjual padi mereka kepada pihak yang telus.
Bercakap kepada akhbar ini, seorang petani yang hanya mahu dikenali sebagai Ishak, 60-an dilaporkan berkata, isu beras tempatan yang dibungkus sebagai beras import berada di luar kawalan petani kerana sebagai penjual padi, mereka sudah tentu akan mencari pembeli atau pengilang yang menawarkan harga belian paling tinggi pada setiap musim.
Sebelum ini Utusan Malaysia juga melaporkan Setiausaha Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Nur Fitri Amir berkata, kebanyakan kilang berebut membeli padi dengan jumlah yang banyak pada harga RM1,600 per tan bagi membolehkan mereka menjual beras RM40 ke atas dengan menukar kampit yang dicop beras putih import.
Keadaan itu menurut Nur Fitri, menjadi penyebab mengapa lebih banyak beras putih import terdapat di pasaran berbanding beras putih tempatan walaupun hasil tuaian padi di seluruh negara masih tinggi pada setiap setiap musim.
Sementara itu, sumber berkenaan berkata, yang untung dalam situasi berkenaan sudah pastinya broker padi dan kilang-kilang besar terbabit yang menjual beras tempatan sebagai import.
Justeru bagi mengatasi masalah ini, katanya, kerajaan perlu menetapkan harga belian padi kepada RM1,500 per tan dan menetapkan harga beras pada satu gred sahaja iaitu RM36 bagi berat 10 kilogram.
Katanya, cadangan tersebut sudah beberapa kali diutarakan namun masih tidak ada jalan penyelesaian sehingga kini.
“Jika tidak melaksanakan langkah tersebut, saya lihat isu ketiadaan beras tempatan ini akan terus berlarutan. Kalau dilihat di kedai-kedai atau pasar raya, mana ada lagi beras tempatan semuanya beras import,” katanya.









