Suami harap pemandu terima hukuman setimpal

Suami harap pemandu terima hukuman setimpal

MUHAMMAD HELMI Abdul Razak menunjukkan gambar arwah isteri dan anaknya ketika ditemui di Taman Bukit Beruang, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Suami kepada wanita hamil sembilan bulan yang maut dalam kemalangan de­ngan sebuah kereta di Jalan Taming Sari di sini pada 1 Jun lalu berharap pemandu terlibat menerima hukuman setimpal.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, Muhammad Helmi Abdul Razak, 28, mendakwa, pemandu Proton Exora berusia 41 tahun itu melakukan kesalahan dengan membelok ke kanan dari Jalan Mawar menuju pusat bandar.

Katanya, pengguna jalan raya yang melalui laluan tersebut sudah tahu terdapat papan tanda amaran larangan membelok ke kanan.

“Jika dia membelok ke kiri, saya masih boleh menyelamatkan diri dan tidak mungkin berlaku kemalangan hingga menyebabkan isteri saya maut.

“Tetapi apabila pemandu wanita itu membelok ke kanan secara tiba-tiba, saya tidak dapat mengelak walaupun sudah menekan brek, tetap melanggar bahagian hadapan kereta tersebut.

“Isteri saya tercampak di atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah pada kepala, perut dan punggung manakala saya patah pergelangan tangan kiri, tulang rusuk dan luka-luka di muka,” katanya ketika ditemui di Taman Bukit Beruang.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, satu keluarga terlibat dalam kemalangan di Jalan Taming Sari sehingga mengakibatkan si isteri yang hamil sembilan bulan maut bersama kandungannya.

Mangsa, Puteri Nur Iman Hamidun, 27, meninggal dunia di Hospital Melaka ketika mendapatkan rawatan manakala suaminya mengalami kecede­raan pada muka dan anggota badan.

Tambah Muhammad Helmi, hukuman itu diharap memberi pengajaran kepada masyarakat agar tidak melakukan ke­salahan serupa sehingga menyebabkan ada keluarga kehilangan orang tersayang.

Menurutnya, keluarganya telah melantik peguam bagi mewakili mereka dan mempunyai tiga saksi yang melihat kejadian tersebut secara langsung.

“Lebih mengecewakan apabila pemandu kereta tersebut langsung tidak menziarahi arwah isteri walaupun telah dimaklumkan menerusi aplikasi WhatsApp,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN