GUA MUSANG: Penduduk menggesa projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) pakej 3BC dan 3D yang melibatkan pembinaan di laluan sedia ada dipercepatkan bagi mengurangkan kesesakan pada waktu puncak, musim cuti dan perayaan.
Seorang penduduk, Norhayati Che Daud, 47, berkata, perkembangan projek LTU di laluan jalan masuk ke bandar Gua Musang agak perlahan sejak dimulakan lebih setahun lalu.
Menurut beliau, laluan berkenaan penting kerana digunakan setiap hari oleh penduduk tempatan untuk berulang-alik ke bandar Gua Musang dan pengguna jalan Gua Musang-Kuala Lipis.
“Pembinaan LTU atau kerja menaik taraf jalan bermula di bulatan Gua Musang sehingga simpang Hospital Gua Musang agak perlahan.
“Pengguna perlu melalui jalan sementara yang disediakan, namun jalan berkenaan kerap rosak kerana sering dilalui kenderaan berat. Laluan itu penting kerana sering digunakan oleh penduduk dan pengguna jalan untuk ke Kuala Lumpur atau Kota Bharu,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Muhamad Hamzah Daud, 64, juga mengakui perkembangan projek LTU di laluan berkenaan dilihat sangat perlahan.
Katanya, laluan jalan sementara yang disediakan untuk kenderaan ringan di kawasan itu kerap rosak kerana turut dilalui kenderaan berat seperti lori dan bas.
“Saya lihat perkembangan kerja di tapak pembinaan agak perlahan dan kadang-kadang tak ada langsung orang sedang bekerja. Saya juga tidak pasti disebabkan oleh kontraktor atau masalah lain.
“Perkara itu menyusahkan lebih-lebih lagi semasa perantau pulang ke Kelantan khususnya di musim perayaan. Jadi, saya berharap kerajaan campur tangan untuk mempercepatkan segala proses kerja demi kesenangan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim berkata, pihaknya pernah membangkitkan proses kemajuan pembinaan LTU kepada pihak kementerian terlibat.
Kata beliau, pihaknya mengakui pembinaan projek LTU di beberapa pakej sangat perlahan.
“Projek LTU terutama di kawasan bandar dan luar bandar Gua Musang telah mengalami kelewatan kritikal berpandukan jawapan pihak kementerian kepada saya pada sidang Parlimen lepas,” ujarnya. – UTUSAN











