Seorang maut, enam cedera nahas libatkan Toyota Hilux-Proton Persona - Utusan Malaysia

Seorang maut, enam cedera nahas libatkan Toyota Hilux-Proton Persona

KEADAAN kereta Proton Persona yang bertembung dengan Toyota Hilux di Kilometer 71, Jalan Batu Pahat-Mersing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Seorang maut manakala enam lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah Toyota Hilux dan Proton Persona di Kilometer 71, Jalan Batu Pahat-Mersing petang semalam. 

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, dalam kejadian pukul  6.40 petang itu, penumpang hadapan Proton Persona, Manan Osman, 59, meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan dalaman.

“Enam orang yang cedera adalah penumpang belakang kereta Proton Persona serta pemandu dan empat penumpang Toyota Hilux, manakala pemandu kereta Proton Persona tidak mengalami sebarang kecederaan. 

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 30 tahun yang datang dari arah Kluang ke Mersing hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan. 

“Akibatnya, kenderaan pacuan empat roda berkenaan telah bertembung dengan Proton Persona dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun sebelum terbalik di atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk bedah siasat, manakala semua yang cedera turut dirawat di hospital sama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN