MELAKA: Pemberian RM500 untuk majlis kenduri perkahwinan kakak menjadi sumbangan terakhir Muhammad Aizad Khairil Anwar, 20, sebelum maut dalam nahas dengan sebuah bas yang berhenti secara mengejut di Jalan Satu Krubong di sini, kelmarin.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, bapa saudara mangsa, Norazali Nordin, 43, berkata, Muhammad Aizad sempat menghulurkan wang kepada ibunya, Nor Aslinda Nordin, 44, sebelum keluar rumah ke tempat kerja.
Katanya, anak lelaki tunggal daripada tiga beradik itu juga bertindak mengunci pintu bilik tidur, seolah-olah tidak mahu balik lagi.
“Kakak arwah yang berusia 22 tahun akan melangsungkan pernikahan pada hari ini dan dia beri wang tersebut untuk membeli barang keperluan. Sebelum ini dia telah beri duit gaji tetapi semalam dia tambah lagi RM500.
“Dia seorang anak yang ringan tulang dan tidak lokek membantu keluarga. Arwah satu-satunya anak lelaki dalam keluarga dan menjadi tempat ibunya bergantung harap,” katanya ketika ditemui di Taman Krubong Perdana di sini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang pekerja pusat mencuci kenderaan menemui ajal selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas di Jalan Satu Krubong.
Lebih menyedihkan, mangsa meninggal dunia sehari sebelum majlis perkahwinan kakaknya.
Tambah Norazali, kehilangan arwah amat dirasai terutama buat ibunya yang masih lagi bersedih dan tidak mampu meneruskan persiapan perkahwinan.
“Arwah pernah meluahkan hasrat untuk mendirikan rumah tangga selepas kakaknya. Kami reda dengan ketentuan ini,” ujarnya. – UTUSAN









