MANILA: Semua sekolah di Filipina bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan perubahan iklim menjelang permulaan musim ribut taufan di Asia Tenggara.
Sebelum ini, sekolah di negara itu terpaksa ditutup sementara, berikutan cuaca panas ekstrem dengan suhu meningkat lebih 40 darjah Celsius pada April dan Mei lalu.
Sekolah akan dibuka semula selepas cuti pada bulan Julai yang sepatutnya dijadualkan Ogos kerana pihak kerajaan merombak takwim pendidikan bagi menyesuaikan dengan keadaan cuaca.
Negara itu berdepan ancaman ribut ketika musim taufan yang dijangka pada bulan depan.
Sebelum ini, banyak sekolah terpaksa menangguhkan sesi pembelajaran kerana bilik darjah ditenggelami air dan premis itu juga sering digunakan sebagai pusat pemindahan sementara.
Biro Cuaca Negeri berkata, Filipina berkemungkinan mengalami lebih banyak taufan tropika pada tahun ini berbanding tahun lepas, berikutan potensi kembalinya fenomena La Nina antara Jun hingga Ogos.
Ahli meteorologi Filipina juga meramalkan keadaan taufan yang lebih buruk berlaku akibat perubahan iklim itu.
Perkembangan itu menjadi berita buruk untuk 47,000 sekolah di Filipina, yang berdepan risiko kerosakan pada struktur fizikal dan memberi impak kepada pendidikan murid.
Susulan itu, pihak berkuasa pendidikan memanfaatkan teknologi untuk menangani cuaca melampau dan bencana alam berkaitan perubahan iklim.
Satu alat dalam aplikasi mudah alih dan web Penilaian Radar Asessment of Damages Report (RaDar), yang digunakan oleh guru untuk menyampaikan kemas kini dengan cepat apabila sekolah terperangkap dalam bencana.
Alat itu dilancarkan Jabatan Pendidikan dengan kerjasama Save the Children serta badan amal, Prudence Foundation bagi melaporkan enam jenis bencana alam berbeza, termasuk ribut dan taufan.- THE STRAITS TIMES










