JOHOR BAHRU: Panggilan yang memaklumkan kejadian kemalangan meragut tiga nyawa apabila sebuah Toyota Alphard terjunam ke dalam longkang di Lebuhraya Iskandar Sultan, di sini disangka gurauan nakal.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Miss Chu, 30, tidak menyangka kejadian itu benar-benar berlaku dan mengorbankan kakaknya, Chu Wan Rou, 31, dan adik lelakinya, Chu Wei Yeah, 28, serta kenalan kakaknya, Aw Siew Chern, 35, yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura.
“Pada mulanya, kami sekeluarga menerima panggilan telefon daripada seorang individu pada pukul 7.30 pagi menyatakan kakak dan adik lelaki saya terbabit dalam kemalangan dan pemanggil akan berkongsi lokasi kejadian berlaku. Namun hingga pukul 10 pagi, kami tidak menerima sebarang berita daripadanya. Kami menyangka panggilan diterima hanyalah gurauan nakal individu tidak dikenali itu.
“Walau bagaimanapun, kami sekeluarga tersentak apabila kenalan kakak saya dan rakan Siew Chern dari luar negara menghubungi kami menyatakan mereka bertiga terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura pagi tadi,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.
“Dalam panggilan video itu, dia terkejut setelah kenderaan yang dinaiki mereka tiba-tiba bergegar kuat dan telefon dipegang Siew Chern tercampak. Kenalan kakak menyatakan dia hanya mampu mendengar suara ketiga-tiga mangsa menjerit ketakutan meminta tolong dan menyatakan kenderaan mereka sedang tenggelam dalam air,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, tiga individu termasuk dua beradik maut selepas kenderaan pelbagai guna yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang dipenuhi air sedalam tiga meter di Kilometer 14.3, Lebuhraya Iskandar Sultan.
Sementara itu, Miss Chu berkata, beliau akan membawa jenazah kakak dan adik lelakinya pulang ke Yong Peng, Batu Pahat, untuk upacara pembakaran mayat selepas selesai proses bedah siasat. – UTUSAN










