PASIR SALAK: Sebuah rumah lama yang usang dan dipenuhi semak sehingga mencacatkan pemandangan di Kompleks Sejarah Pasir Salak di sini yang pernah dilaporkan akhbar ini, sudah dibersihkan.
Ketua Kampung Pasir Salak, Nor Azri Sokor berkata, dia difahamkan rumah tersebut dibersihkan Jabatan Muzium Perak.
Menurutnya, selepas dibersihkan, rumah tersebut kelihatan menarik kerana menyerlahkan seni bina rumah tradisional Melayu Perak yang dapat dilihat sesiapa sahaja kerana terletak di jalan masuk ke kompleks tersebut.
“Tidak lama selepas berita keadaan rumah ini yang usang dan dipenuhi semak disiarkan Utusan Malaysia, ada pihak yang membersihkan,” katanya.
November lalu, akhbar ini menyiarkan mengenai keadaan sebuah rumah lama yang usang dan dipenuhi semak mencacatkan pemandangan kepada pengunjung yang melawat Kompleks Sejarah Pasir Salak.
Penduduk di sekitar kawasan kompleks itu berkata rumah tersebut memberikan imej tidak elok untuk kompleks sejarah itu. Penduduk mahu rumah tersebut dirobohkan namun tidak tahu siapa pemiliknya.
Berikutan itu, anak kepada pemilik asal rumah itu, Ridzuan Mohamad tampil mengakui rumah milik keluarganya.
Namun, katanya, rumah itu ditinggalkan selepas disenaraikan kerajaan negeri yang mahu menjadikannya sebahagian daripada program rumah inap desa kompleks sejarah itu. – UTUSAN







