BAITULMUQADDIS: Penunjuk perasaan antikerajaan turun ke jalanan di Baitulmuqaddis pada Isnin, bertempur dengan polis berhampiran rumah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan menggesa pilihan raya baharu dilaksanakan.
Netanyahu sekali lagi menerajui gabungan berhaluan kanan dalam sejarah Israel, selepas kerajaan perpaduan zaman perang musnah seminggu lalu, apabila dua bekas jeneral berhaluan tengah, Benny Gantz dan Gadi Eisenkot meletak jawatan.
Perdana Menteri itu kini bergantung dengan rakan ultra-Ortodoks dan sayap kanan, yang agenda utamanya menyebabkan keretakan besar dalam masyarakat Israel, walaupun sebelum serangan Hamas yang mencetuskan perang di Gaza pada 7 Oktober lalu.
Protes yang sering berlaku setiap minggu masih belum mengubah landskap politik, dan Netanyahu masih mengawal majoriti yang kukuh di Parlimen.
Berikutan pengunduran Gantz dan Eisenkot, kumpulan pembangkang mengisytiharkan protes jalanan selama seminggu termasuk menyekat lebuh raya dan demontrasi besar-besaran.
Menjelang matahari terbenam, ribuan penunjuk perasaan berkumpul di luar Parlimen Israel, Knesset sebelum berarak ke kediaman Netanyahu di bandar itu.
Demonstrasi bertukar kecoh ketika menghampiri rumah Netanyahu, selepas beberapa penunjuk perasaan cuba merempuh sekatan polis dan menolak mereka ke belakang.
Malah, unggun api turut dinyalakan di jalan, menyebabkan polis menggunakan meriam air untuk menyuraikan demonstrasi.
Sembilan individu ditangkap, sebahagiannya kerana menyerang anggota polis, menurut pihak berkuasa itu dalam kenyataan.
Rata-rata penunjuk perasaan mengibarkan bendera Israel dan membawa sepanduk mengkritik Netanyahu dalam mengendalikan isu-isu penting.
Ini termasuk mempromosikan rang undang-undang ketenteraan yang mengecualikan golongan Yahudi ultra-Ortodoks dan caranya mengendalikan perang dengan Hamas di Gaza serta kumpulan Hezbollah di Lubnan.- REUTERS










