GAZA: Ketua Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah di Rafah, William Schomburg menyifatkan Rafah kini sebagai ‘bandar hantu’.
Perang selama lapan bulan membawa kepada keadaan kemanusiaan yang teruk di Gaza dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengulangi amaran mengenai risiko kebuluran.
“Ia adalah bandar hantu di mana anda melihat hanya sedikit orang, tahap kemusnahan yang tinggi dan merupakan simbol lain daripada tragedi yang terjadi di Gaza selama sembilan bulan,” katanya.
Agensi PBB berkata, konvoi bantuannya telah dirompak di dalam Gaza oleh ‘mereka yang terdesak’.
Mereka yang terdesak dalam kalangan 2.4 juta penduduk Gaza meningkat apabila pertempuran semakin sengit, mencetuskan amaran daripada agensi bahawa bantuan tidak dapat diagihkan.
Israel mendakwa, pihaknya membenarkan bekalan bantuan masuk dan menggesa agensi untuk meningkatkan penghantaran.
“Keselamatan dan ketenteraman awam yang semakin lumpuh di Gaza membahayakan kakitangan kemanusiaan serta operasi di Gaza,” kata Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) dalam taklimat.
Katanya, selain daripada pertempuran, aktiviti jenayah dan risiko kecurian menghalang akses kemanusiaan ke lokasi kritikal.
Bagaimanapun, Israel mendakwa membenarkan ratusan trak bantuan masuk ke selatan Gaza dan menyalahkan PBB kerana menyebabkan bantuan itu bertimbun.
Dengan keadaan keselamatan di Gaza, PBB berkata, ia tidak dapat mengambil sebarang bekalan dari Kerem Shalom sejak Selasa.- AGENSI










