SEREMBAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap akan menjadi medan bagi mengukur sejauh mana ahli UMNO di kawasan itu untuk kembali memberi sokongan kepada parti.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan oleh itu berkata, jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu menjadikan PRK Sungai Bakap sebagai ujian bagi memastikan kira-kira 5,000 ahli parti itu dapat keluar mengundi pada hari pengundian nanti.
“Ini (PRK Sungai Bakap) merupakan satu latihan bagi BN khususnya UMNO untuk mengukur sejauh mana ahli kita sudah ‘sejuk hati’ kepada parti. Ini penting juga kerana semasa Pilihan Raya Umum Ke-15, tidak ada Pilihan Raya Negeri (PRN) ia dibuat kemudian.
“Saya terangkan kepada mereka (jentera BN) untuk jadikan ini sebagai ujian percubaan. Bukan kita bertanding tetapi seolah-olah kita yang bertanding untuk kita tumpukan hampir 5,000 ahli kita. Kalau kita dapat keluarkan kesemua ahli ini, insya-Allah kita boleh menang,” katanya.
Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Rembau berkata demikian kepada pemberita pada Program Penyampaian Bantuan Mangsa Banjir di Kampung Paroi, di sini, hari ini.
PRK Sungai Bakap ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu iaitu calon Pakatan Harapan (PH) Dr. Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail.
Dalam pada itu, Mohamad memberitahu,reaksi yang diberikan masyarakat setempat kepada calon ditampilkan oleh Kerajaan Perpaduan adalah sangat baik.
“Dr. Joohari ini doktor falsafah yang pernah menjadi Pengarah Institut Aminuddin Baki, seorang yang dihormati dan anak kampung di situ. Reaksi orang baik tetapi kita tidak tahulah dalam pilihan raya ini macam-macam berlaku.
“Orang ramai kadang-kadang dipengaruhi oleh banyak isu yang dimainkan oleh pihak yang menangguk di air yang keruh. Jadi saya sempat berjumpa dengan jentera parti BN untuk menerangkan cara gerak kerja yang patut mereka lakukan,” katanya.
Menurut beliau lagi, jentera BN khususnya UMNO di kawasan Sungai Bakap itu juga sendiri sudah bersedia.
“Mereka bersemangat untuk bertemu dengan seramai mungkin pengundi khususnya UMNO. Kalau kita boleh bawa keluar kesemua ahli UMNO yang hampir 5,000 itu daripada 13,000 pengundi Melayu di situ pun sudah memadai,” katanya.-UTUSAN.










