PRK DUN Sungai Bakap 6 Julai, kos RM2.1 juta

PRK DUN Sungai Bakap 6 Julai, kos RM2.1 juta

Azmi Sharom (dua kanan) menyampaikan watikah pelantikan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap kepada Pegawai Daerah dan Tanah Seberang Perai, Khairulnizam Hashim di ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr. Azmi Sharom berkata, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 22 Jun ini manakala undi awal pada 2 Julai.

Katanya, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari.

“Sejumlah 39,279 pemilih terlibat dalam pilihan raya ini dengan peruntukan kos kira-kira RM2.1  juta,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas PRK berkenaan di sini semalam.

Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Dalam Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Ini adalah PRK ke-8 selepas Pi­lihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) iaitu PRK Parlimen Kuala Terengganu, Terengganu; PRK DUN Simpang Jeram, Johor; PRK Parlimen Pulai, Johor; PRK DUN Pelangai, Pahang; PRK DUN Jepak, Sarawak; PRK Parlimen Kemaman, Terengganu dan PRK DUN Kuala Kubu Baharu, Selangor.

Azmi berkata, SPR melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh tiga orang Penolong Pegawai Pengurus dan 522 petugas.

“Dewan Serbaguna Jawi di Taman Desa Jawi akan menjadi Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi,’’ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN