KOTA BHARU: Polis sedang menjalankan siasatan berkait tindakan penyeludup yang melepaskan tembakan ke arah ke arah lima anggota dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan di Pangkalan Haram Pok Mat, Pengkalan Kubor dekat Tumpat pada Rabu lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan itu dijalankan selepas pihaknya menerima laporan berhubung insiden tersebut pada hari yang sama.
Menurutnya, pada masa sama polis turut bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand untuk mendapatkan maklumat lanjut selain mengesan suspek yang terlibat.
“Kita mahukan satu penjelasan dan rumusan hasil daripada siasatan lanjut yang sudah dijalankan oleh kedua-dua pihak.
“Hal ini keranan, siasatan kes ini melibatkan hubungan antara dua buah negara,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, pada masa sama polis akan memanggil agensi-agensi yang mengawal sempadan untuk berbincang mengenai insiden tersebut.
“Saya fikir, perlu ada satu perbincangan dan kerjasama dengan pelbagai pihak semasa menjalankan tugasan.
“Oleh itu, setiap agensi penguatkuasaan di sempadan perlu bersedia dengan segala tindak balas daripada kumpulan penyeludup. Paling penting adalah pemakluman mengenai lokasi setiap anggota yang menjalankan tugas di sempadan,” ujarnya.
Muhamad Zaki berkata, walaupun agensi penguat kuasa mempunyai operasi masing-masing namun kerjasama kukuh mampu membuahkan hasil yang baik semasa penugasan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kumpulan penyeludup bertindak melepaskan dua das tembakan ke udara dan satu ke arah sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan selepas kegiatan penyeludupan petrol bersubsidi dan diesel di kawasan pangkalan haram Pok Mat, Kampung Simpangan di sini diserbu agensi berkenaan pada Rabu lalu.
Serbuan pukul 9.45 pagi itu dilakukan oleh lima anggota yang sedang melakukan rondaan rutin di Sungai Golok yang berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
Pengarah Kastam negeri, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, semasa melakukan rondaan, anggota bertugas mengesan 15 buah bot berenjin galah sedang melakukan aktiviti memunggah bahan api dipercayai petrol bersubsidi dan diesel.-UTUSAN










