KOTA KINABALU: Kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri perlu dalam menangani masalah bekalan air di kawasan luar bandar di Sepanggar.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sejumlah RM2.4 juta diperuntukkan pada bulan lalu bagi memperbaiki saluran paip di kawasan luar bandar di kawasan Parlimen Sepanggar.
“Saya akan terus menambah peruntukan itu, Namun, kalau pun kita baiki saluran paip tapi bekalannya tidak mencukupi mustahil pengguna akan memperolehinya. Maka, kerjasama itu kita akan selaraskan.
“Kerajaan negeri juga telah diberi peruntukan oleh kerajaan Pusat untuk memperbaiki dan menukar paip air. Jadi, saya fikir kordinasi ini boleh dilakukan,” katanya apabila ditanya mengenai masalah bekalan air di Sepanggar.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Sepanggar, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menafikan ada unsur politik dalam lantikan Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) di Sabah.
Katanya, penubuhan JKDM bertujuan untuk melengkapi dan menyokong jawatankuasa sedia ada di peringkat negeri bagi membantu memperkukuhkan pentadbiran di peringkat akar umbi.
“Kita tidak berniat pun untuk bersaing atau mencari jalan yang berbeda, kita mahu memperkukuhkan akar umbi kita agar rakyat yang terpinggir dapat kita santuni,” katanya.
Presiden UMNO berkata, penubuhan JKDM di Sabah juga bukan untuk memecahbelahkan pentadbiran di peringkat akar umbi.
“Tidak ada langsung niat ke arah itu kerana kerajaan negeri mempunyai Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan kita menubuhkan Pengerusi Desa Madani untuk perkukuhkan dukungan rakyat di sesebuah kampung,” katanya.
Setakat ini tiga negeri telah menubuhkan JKDM iaitu Sabah, Pulau Pinang dan Selangor. Di negeri-negeri lain tidak ada sebarang masalah mengenai penubuhan tersebut kerana mereka memahami hasrat kerajaan.










