JERANTUT: Pemandu ambulans, Syaifol Bahari Idris, 50, berasa agak pelik dengan pertanyaan isterinya, Allahyarham Norazlina Ismail, 44, siapa akan menjaga anak orang kurang upaya (OKU) sekiranya mereka berdua meninggal dunia nanti.
Syaifol Bahari berkata, pertanyaan arwah dua hari lalu sebelum masuk tidur benar-benar meruntun hatinya dan tidak menyangka ia petanda isteri dan anak perempuan OKU tunggal mereka pergi meninggalkannya buat selama-lamanya.
“Saya membalas pertanyaan isteri dengan berkata sekiranya mereka berdua ‘tiada’, ada orang yang hidup akan menjaga anak OKU kita, sebaliknya sekiranya saya yang mati, awaklah (isteri) akan menjaga seperti mana (suratan) yang selalunya yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Jerantut di sini.
Norazlina meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Jerantut selepas terbabit kemalangan jalan raya di Kilometer 18, Jalan Jerantut-Maran berdekatan Sungai Salan pada pukul 6.30 petang semalam.
Turut meninggal di tempat kejadian, anak perempuan OKU Syaifol Bahari, Nur Harina Fatihah, 21, manakala seorang lagi pemandu kereta jenis Perodua Myvi, Suhaimi Abd. Rahman, 42, juga meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Jerantut.
Syaifol Bahari yang memandu kereta jenis Perodua Bezza datang dari arah Bandar Pusat Jengka menghala ke bandar Jerantut mengalami kecederaan luka pada bahagian lutut kanan dan lebam di bahagian badan terselamat dalam kejadian itu.
Menurut Syaifol Bahari, dia reda dengan ujian Allah SWT apabila kehilangan dua ahli keluarga yang disayangi iaitu isteri dan anak perempuan.
Dia berkata, jenazah isteri dan anaknya akan dikebumikan di Felda Jengka 16, Bandar Pusat Jengka bersebelahan pusara ibu mertuanya yang meninggal enam bulan lalu selepas semua urusan bedah siasat selesai.
Sementara itu, bapa mentua arwah Suhaimi, Ahmad Hamizi Omar, 60, berkata, dia mengetahui tentang kejadian tersebut pada pukul 8.30 malam semalam.
“Arwah menantu saya bekerja di Tembeling sebagai pemandu jengkaut dan selalu balik setiap hujung minggu untuk bertemu dengan isterinya,” katanya. – UTUSAN










