TANGKAK: Seorang penuntut Politeknik Merlimau, Melaka maut apabila motosikal ditunggangi terlanggar seekor lembu yang melintas di Kilometer 6.4, Jalan Sagil berhampiran Parit Kassan malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd.Talib berkata, kejadian pada pukul 12.10 malam itu meragut nyawa Mohammad Syazuan Abd. Kadir, 21.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke rumahnya di Sagil.
“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal telah terlanggar seekor lembu sebelum terbabas ke dalam semak sebelah kanan bahu jalan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian disebabkan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala serta badan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Roslan menasihati orang ramai supaya tidak membiarkan ternakan mereka berkeliaran sewenang-wenangnya kerana dikhuatiri boleh mengancam pengguna jalan raya yang lain.
“Pihak polis menyeru pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati semasa melalui kawasan haiwan yang sering kali melintas di jalan terutamanya pada waktu malam,” katanya. – UTUSAN










