SEREMBAN: Seorang operator kilang maut selepas motosikal ditungganginya dilanggar sebuah kereta dalam kejadian kemalangan yang berlaku di persimpangan lampu isyarat Persiaran Teknologi, Bandar Enstek dekat Nilai di sini pagi tadi.
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 7.40 pagi itu, mangsa yang juga seorang lelaki berusia 53 tahun meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, nahas tersebut melibatkan dua buah kenderaan iaitu antara sebuah motosikal jenis Honda Vario yang ditunggang oleh mangsa dengan sebuah kereta jenis Perodua Aruz yang dipandu oleh seorang wanita berusia 39 tahun.
“Siasatan awal mendapati semasa kejadian, pemandu kereta jenis Perodua Aruz yang dalam perjalanan dari arah Tiara Sendayan ke KLIA itu dipercayai gagal berhenti ketika lampu isyarat merah di persimpangan tersebut lalu melanggar penunggang motosikal yang ditunggang mangsa yang datang dari arah sebelah kanan.
“Akibat daripada kemalangan ini, penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian manakala pemandu kereta hanya mengalami kecederaan ringan luka-luka di bahagian tangan,”katanya ketika dihubungi.
Berikutan itu, katanya kes berkenaan disiasat di bawah Sek. 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Abdul Malik berkata, sebarang maklumat orang ramai boleh salurkan kepada pihak Polis Daerah Nilai di nombor 06-7904389 (Pusat Kawalan Daerah Nilai) atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor Muhammad Farid Danial Azli di nombor 012- 9122198 bagi membantu siasatan.-UTUSAN.









